MYTAJIDID LAMAN REMAJA ISLAM

Just another WordPress.com weblog

SEJARAH KEMUNCULAN MAZHAB

 

 

1.0 PENGERTIAN MAZHAB

 

1.1 PENGERTIAN MAZHAB                                                                                 

Maksud Perkataan “Mazhab” dan “Imam”

Sebelum ditinjau sejarah kemunculan mazhab-mazhab fiqh Islam, ada baiknya jika kita tinjau terlebih dahulu maksud perkataan “Mazhab” dan “Imam” itu sendiri.

 

Mazhab (مذهب) dari sudut bahasa bererti “jalan” atau “the way of”. Dalam Islam, istilah mazhab secara umumnya digunakan untuk dua tujuan: dari sudut akidah dan dari sudut fiqh.

 

1.      Mazhab akidah ialah apa yang bersangkut-paut dengan soal keimanan, tauhid, qadar dan qada’, hal ghaib, kerasulan dan sebagainya. Antara contoh mazhab-mazhab akidah Islam ialah Mazhab Syi‘ah, Mazhab Khawarij, Mazhab Mu’tazilah dan Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Setiap daripada kumpulan mazhab akidah ini mempunyai mazhab-mazhab fiqhnya yang tersendiri.

2.      Mazhab fiqh ialah apa yang berkaitan dengan soal hukum-hakam, halal-haram dan sebagainya. Contoh Mazhab fiqh bagi Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah ialah Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab al-Syafi‘e dan Mazhab Hanbali.

 

Contoh imam mazhab ialah :

               I.      Abu Hanifah.

             II.      Malik bin Anas.

            III.      Al-Syafi‘e.

         IV.      Ahmad bin Hanbal.

 

 

Pengertian mazhab ini kemudiannya beralih menjadi satu kumpulan ajaran fiqh Islam yang diikuti dan diterima oleh satu-satu kumpulan umat Islam dalam sesebuah wilayah atau negara. Ianya menjadi sumber rujukan dan pegangan yang diiktiraf sebagai ganti atau alternatif kepada ikutan, ijtihad dan analisa terhadap ajaran asli al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

1.2 PENGERTIAN IMAM

Perkataan “Imam” dari sudut bahasa bererti “teladan” atau “pemimpin.” Dalam Islam, perkataan “Imam” memiliki beberapa maksud selari dengan konteks penggunaannya, iaitu:

 

1.      Imam sebagai pemimpin solat berjamaah.

 

2.      Imam sebagai pemimpin atau ketua komuniti orang-orang Islam.

 

3.      Imam sebagai tanda kelebihan kedudukan ilmunya, sehingga dijadikan

       sumber pembelajaran dan rujukan ilmu agama. Contohnya ialah Imam Abu

       Hanifah, Imam Malik bin Anas dan sebagainya. Walaupun mereka dijadikan

       sumber rujukan ilmu, autoriti mereka hanyalah terhad kepada apa yang

       tertera dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

4.      Imam sebagai wakil Allah dan pemimpin umat serta penentu zaman. Imam

       sebegini hanya khusus bagi Mazhab Syi‘ah. Imam-imam ini bukan sahaja

       dijadikan rujukan syari‘at tetapi juga memiliki autoriti dalam menetapkan

       sesuatu yang berkaitan dengan syari‘at tanpa terhad kepada al-Qur’an dan

       al-Sunnah.

 

 

 

 

 

2.0 SEJARAH KEMUNCULAN MAZHAB-MAZHAB ISLAM 

 

Mazhab-mazhab ini hanya muncul dan lahir secara jelas pada era pemerintahan Dinasti Abbasiyyah, iaitu sejak kurun ke 2H/8M. Sejarah kemunculan dan perkembangannya boleh dilihat dalam 4 peringkat, iaitu:

 

  1. Pada era Rasulullah s.a.w dan para Khalifah al-Rashidun yang empat.

 

  1. Pada era Pemerintahan Dinasti Umayyah dan Abbasiyyah di mana pada ketika inilah mazhab-mazhab Islam mula muncul dan berkembang.

 

  1. Pada era kejatuhan Islam, iaitu mulai kurun ke 4H/10M di mana mazhab-mazhab Islam tidak lagi berperanan sebagai sumber ilmu kepada umat tetapi hanya tinggal sebagai sesuatu yang diikuti dan diterima secara mutlak.

 

  1. Era kebangkitan semula Islam dan ilmu-ilmunya sama ada dalam konteks mazhab atau ijtihad ulama’ mutakhir.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

2.1 ERA PERTAMA

Era ini bermula sejak diutuskan Muhammad bin Abdullah menjadi seorang Rasul Allah dan mengembangkan agama tauhid yang baru, iaitu Islam. Pada ketika ini sumber syari‘at adalah penurunan wahyu berupa al-Qur’an al-Karim dan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w.

 

Kemudahan mereka mempelajari Islam disokong oleh kehadiran Rasulullah s.a.w yang bertindak sebagai guru. Ini sebagaimana dikhabarkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Qur’an:

!$yJx. $uZù=y™ö‘r& öNà6‹Ïù Zwqߙu‘ öNà6ZÏiB (#qè=÷Gtƒ öNä3ø‹n=tæ $oYÏG»tƒ#uä öNà6ŠÏj.t“ãƒur ãNà6ßJÏk=yèãƒur |=»tGÅ3ø9$# spyJò6Ïtø:$#ur Nä3ßJÏk=yèãƒur $¨B öNs9 (#qçRqä3s? tbqßJn=÷ès? ÇÊÎÊÈ

151. (Nikmat berkiblatkan Kaabah Yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), Yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan Yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa Yang belum kamu ketahui. .                                                         [al-Baqarah 2:151]

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

2.2 ERA KEDUA

Mulai tahun 41H/661M, setelah berlakunya persaingan dan pergolakan politik, pemerintahan Islam beralih ke Dinasti Umayyah, satu kerajaan pemerintahan yang berprinsipkan dinasti iaitu yang berdasarkan zuriat keturunan. Dinasti Umayyah tidak memberikan perhatian yang besar kepada perkembangan fiqh Islam. Mereka hanya menumpukan perhatian kepada soalan perluasan empayar dan kekuasaan material.

 

Dalam era ini banyak pengaruh luar yang berasal daripada Byzantium, Parsi dan India masuk mencemari pemerintahan Dinasti Umayyah. Pola pemerintahan mula bertukar sedikit sebanyak ke arah sekular yang mengasingkan antara agama dan pentadbiran negara. Hiburan-hiburan dan adat istiadat baru juga mula diperkenalkan dalam istana yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti muzik dan tari menari, ahli nujum, penilik nasib dan sebagainya.

 

Selain itu juga institusi Baitulmal telah bertukar daripada milik rakyat kepada kegunaan persendirian dan pelbagai cukai baru dikenakan. Pemerintah juga mula membezakan keutamaan seseorang berdasarkan bangsa dan kabilah sehingga menyebabkan timbulnya sentimen perkauman di kalangan rakyat.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

2.3 ERA KETIGA 

Selepas kejatuhan Dinasti Abbasiyyah, umat Islam berada dibawah beberapa kelompok kerajaan yang berasingan. Masing-masing mempunyai kaedah pemerintahan yang tersendiri dan masing-masing mempunyai ‘mazhab’ rasmi yang dijadikan sumber rujukan pelaksanaan syari‘at Islam. Pada ketika ini juga, iaitu pada kurun-kurun ‘pertengahan’ , umat Islam keseluruhannya mula mengalami kejatuhan dan kemundurannya berbanding dengan negara-negara non-muslim selainnya.

 

Banyak faktor yang menyumbang kepada kejatuhan umat Islam pada ketika ini, antaranya ialah:

1.      Terlalu leka dengan kejayaan yang dicapai sejak beberapa kurun yang lepas.

2.      Ghairah dengan habuan duniawi hingga alpa akan panduan hidup yang diberikan oleh agama.

3.      Banyak perselisihan sesama sendiri atas tuntutan duniawi dan berbagai lagi.

 

Akan tetapi satu faktor yang amat penting yang berhubungkait dengan mazhab-mazhab Islam yang empat ialah wujudnya ketaksuban mazhab dan lahirnya budaya taqlid, iaitu perbuatan hanya mengikut sesuatu ajaran secara membuta tanpa mengetahui apakah hujah atau alasan di sebaliknya.

 

Dengan terbahaginya umat Islam kepada beberapa kelompok kerajaan dengan masing-masing mempunyai ‘mazhab rasminya’ tersendiri, suasana bermazhab dalam agama menjadi semakin kuat. Seseorang yang berada dalam sesebuah mazhab hanya dibolehkan mempelajari atau mengikuti mazhabnya sahaja tanpa menjengok atau membanding dengan mazhab yang lain. Di samping itu majoriti umat pula sudah mula menerima hakikat kewujudan mazhab dan mereka lebih rela mengikuti sahaja satu-satu mazhab yang tertentu tanpa lebih daripada itu. Konsep “Kami mazhab kami, mereka mazhab mereka” menjadi cogan kata umat keseluruhannya dan tembok-tembok pemisah antara mazhab menjadi lebih tebal, tinggi dan kukuh.

2.4 ERA KEEMPAT

Pada kurun ke 11H/17M dan 12H/18M, negara-negara Eropah mula mengalami revolusi pembaharuan, kemajuan dan perindustrian. Negara-negara Eropah mula menjajah dan menakluk negara-negara Islam dengan meluaskan pengaruh, agama, ideologi dan adat mereka. Suasana ini mula menyedar dan membangkitkan umat Islam akan hakikat kedudukan mereka yang sebenar. Umat Islam, sekalipun sudah agak terlambat, mula menyedari akan kemunduran mereka dan bahaya yang akan mereka hadapi jika mereka tidak mengubah sikap dan fikiran.

 

Kurun ke 12H/18M dan 13H/19M menyaksikan beberapa gerakan dan revolusi muncul di beberapa bahagian dunia Islam bagi menghapuskan ketaksuban mazhab dan taqlid, meruntuhkan tembok-tembok pemisah mazhab dan membangkitkan semula umat Islam dari tidur sekian lama. Fiqh Islam dan sekaligus syariatnya digerakkan semula, kesedaran umat Islam terhadap agama mereka dibangkitkan semula dan semangat Islam maju umat maju dilaungkan kembali.

 

Antara mereka yang berani lagi gigih membangunkan Islam dari tidurnya ialah Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab (1206H/1792M) di Semenanjung Arab; Jamal al-Din al-Afghani (1314H/1897M), Muhammad Abduh (1322H/1905M),  Rashid Ridha (1353H/1935M) dan Hasan al Banna (1368H/1949M) di Mesir, Ahmad Khan (1308H/1891M) di India dan Abu A’la Mawdudi (1399H/1979M) di Pakistan.

 

Selain itu banyak lagi individu lain yang muncul membangunkan semula Islam di benua-benua lain termasuk Asia Tenggara. Walaupun setiap dari mereka mempunyai nama gerakan yang tersendiri, objektifnya tetap sama iaitu memajukan semula Islam berdasarkan pengkajian semula ilmu-ilmu Islam (ijtihad), menolak ikutan buta tanpa ilmu (taqlid) dan mendalami ilmu-ilmu duniawi seperti sains, perekonomian dan sebagainya.

 

3.0 PERKEMBANGAN MAZHAB DALAM ISLAM

 

3.1 AL-QURAN

 

Agama Islam diutus oleh Allah s.w.t. kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini. Sumber atau pokok ajarannya ialah Al-Quran Al-Karim, iaitu sebuah kitab yang tidak ada sedikit pun kebatilan dan kepalsuan di dalamnya, yang diturunkan oleh Allah dari langit.

Firman Allah s.w.t:

y7Ï9ºsŒ Ü=»tGÅ6ø9$# Ÿw |=÷ƒu‘ ¡ Ïm‹Ïù ¡ “W‰èd z`ŠÉ)­FßJù=Ïj9 ÇËÈ

2. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa.                                                                         (Al-Baqarah 2:2)

 

Al-Quran adalah sebuah kitab yang mengandungi aqidah (kepercayaan) dan Syariah (undang-undang). Ia membicarakan tentang amal ibadah dan juga membicarakan tentang perlembagaan atau sistem hidup duniawi, seperti undang-undang keluarga, hukum jual-beli, peraturan perbicaraan harian, hukum-hukum yang berhubung dengan jenayah dan balasannya, dan juga sistem perhubungan antara satu sama lain serta perhubungan antarabangsa.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

3.2 AL-HADITH

Di samping Al-Quran sebagai sumber pertama bagi segala hukum-hakam, terdapat pula hadith-hadith Rasulullah s.a.w yang merupakan sebagai penghurai dan penafsir dari Al-Quran. Tiap-tiap bab atau fasal hukum fiqh, yang di dapati hadith-hadith yang menerangkan apa-apa yang perlu diterangkan dan dijelaskan sebagaimana firman Allah s.w.t:

 

ÏM»uZÉit7ø9$$Î/ ̍ç/–“9$#ur 3 !$uZø9t“Rr&ur y7ø‹s9Î) tò2Ïe%!$# tûÎiüt7çFÏ9 Ĩ$¨Z=Ï9 $tB tAÌh“çR öNÍköŽs9Î) öNßg¯=yès9ur šcr㍩3xÿtGtƒ

44. (Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan Yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab suci (yang menjadi panduan); dan Kami pula turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Al-Quran Yang memberi peringatan, supaya Engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa Yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.                                                                             (An-Nahl 16:44)                                                                 

 

Rasulullah s.a.w menerangkan ajaran-ajaran Islam kepada manusia dengan perkataan-perkataan, perbuatan-perbuatan dan perakuan-perakuan. Di zaman Rasulullah s.a.w manakala orang-orang Islam menghadapi sesuatu masalah tentang hukum-hukum, mereka terus menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya kepadanya apa yang dimusykilkan. Rasulullah s.a.w menjawab pertanyaan mereka dengan wahyu yang diturunkan kepadanya. Firman Allah s.w.t :

 

$tB ¨@|Ê ö/ä3ç7Ïm$|¹ $tBur 3“uqxî ÇËÈ $tBur ß,ÏÜZtƒ Ç`tã #“uqolù;$# ÇÌÈ

2. rakan kamu (Nabi Muhammad Yang kamu tuduh Dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan Yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan Yang salah). 3. dan ia tidak memperkatakan (sesuatu Yang berhubung Dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.                                                                                      (An-Najm 53:2-3)

3.3 AL-IJTIHAD

Rasulullah s.a.w mengajar sahabat-sahabatnya perkara-perkara yang berhubung dengan agama. Mereka adalah orang yang baik penerimaan, halus fahaman, benar, jujur dan ikhlas. Dari itu maka segala percakapan dan perbuatan mereka boleh diterima dan dibuat pedoman. Rasulullah s.a.w membenarkan mereka berijtihad, jika tidak ada nas atau hukum dari Al-Quran dan hadith-hadith. Dengan syarat tidak terkeluar dari prinsip-prinsip atau peraturan-peraturan agama yang telah ditetapkan.

 

3.3.1 Kebenaran dan Permulaan Ijtihad

Rasulullah s.a.w telah mengutuskan sahabatnya yang bernama Muaz Bin Jabal ke negeri Yaman sebagai pendakwah, juga sebagai kadi. Sebelum pemergiannya, Rasulullah s.a.w telah menemuduganya dengan sabdanya :

 

“Wahai Muaz, bagaimanakah engkau menyelesaikan sesuatu masalah, jika engkau ditanya orang?” Jawab Muaz ,”Aku akan menghukum dengan hukuman yang didapati di dalam kitab Al-Quran.” Tanya Rasulullah lagi; “Jika tidak ada hukuman dalam Al-Quran?” Kata Muaz; “Aku akan hukum dengan sunnah Rasulullah(Al-Hadith). “Rasulullah bersabda lagi : “Jika sekiranya tidak ada dalam hadith?”, Jawabnya; “Aku akan berijtihad.” Kemudian Rasulullah S.A.W. menepuk-nepuk dada Muaz sambil bersabda : “Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada utusan Rasulullah ( Muaz ) denagn perkara yang diredhai oleh Allah dan Rasulnya.”                  (Riwayat Imam Ahmad & Tirmidzi)

 

Inilah pengakuan Rasulullah mengenai ijtihad. Mengenai penerimaan tuhan dengan hasil ijtihad, jelas dalam sabdanya yang bermaksud :

 

“Barangsiapa berijtihad dan betul ijtihad maka ia memperolehi dua pahala. Dan barangsiapa berijtihad dan salah ijtihadnya, maka ia dapat satu pahalanya sahaja”.

 

3.3.2 Perlunya Kepada Ijtihad

Manakala kehidupan manusia semakin hari semakin luas dan bercabang-cabang, dan manusia sendiri bertambah ramai dari semasa ke semasa, maka bidang ilmu fiqh dengan sendirinya menjadi luas, kehidupan orang-orang Islam semakin maju. Ajaran-ajaran Islam telah tersebar luas ke seluruh dunia. Maka banyaklah peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian yang berlaku, sedangkan nas-nas hukum dari Al-Quran dan hadith-hadith nabi ada masa dan batas-batasnya. Tetapi peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian tetap berkembang dengan luasnya tanpa berhenti-henti. Justeru itu maka perlu adanya perbincangan hukum dan ijtihad.

 

3.3.3 Di Zaman Khulafa Ar-Rasyiddin

Di zaman khulafa Ar-Rasyiddin telah zahir perkara-perkara perumpamaan ijtihad. Di antara mereka yang telah tampil kemuka dalam konteks ini, ialah Saidina Umar Al-Khattab, dan masa inilah bidang ilmu fiqh telah menonjol beberapa langkah maju ke hadapan.

 

Tiap-tiap sahabat nabi mengambil kesimpulan dari Al-Quran dan hadith sekadar yang mereka dapat, dan memberitahu kepada orang lain pendapat-pendapat mereka. Dari itu perjalanan ilmu fiqh terus maju kehadapan lagi.

 

Di antara sahabat-sahabat nabi yang berijtihad ialah :

Berijtihad di Madinah : Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Ali, Abdullah Bin Umar,

                                     Zaid Bin Tsabit, Ubai Bin Kaab, Abu Musa As-Asyari dan

                                     lain-lain.

Berijtihad di Mekah    : Abdullah Bin Abbas.

Berijtihad di Kufah     : Abdullah Bin Utbah.

Berijtihad di Mesir      : Abdullah Bin Umar Al-Aash dan lain-lain.

 

Pepecahan mereka di beberapa negeri adalah diibaratkan bintang-bintang yang bertaburan di langit, dan mereka adalah menjadi ikutan umat Islam kerana sifat-sifat mulia dan peribadi yang tinggi yang dimiliki oleh mereka. Pengiktirafan Rasulullah s.a.w. terhadap mereka adalah jelas dan tegas. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

 

“Sahabat-sahabatku adalah laksana bintang-bintang di langit, siapa dari mereka yang kamu ikut nescaya kamu dapat petunjuk.”

 

Ilmu fiqh di kalangan sahabat dan tabiin tidak beku dengan berpegang kepada lafaz-lafaz nas sahaja, tetapi mengambil kira sama tentang hukum-hukum untuk menimbang sebab-sebab (alat) masa hendak menghukum atau memberi fatwa.

 

3.3.4 Perundangan Terus Berkembang

Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w ada mempunyai ramai murid-murid yang belajar dari mereka. Murid-murid itu digelar tabiin kerana mereka tidak sempat bertemu dengan Rasulullah s.a.w, tetapi cuma berjumpa dengan sahabat-sahabat nabi sahaja, mereka mengikut ajaran-ajaran Rasulullah s.a.w dan jalan-jalan sahabat nabi. Apa yang jelas bahawasanya perpindahan tabiin ke seluruh negeri dan bandar-bandar pada masa itu menyebabkan ramai menghadapi bermacam-macam peristiwa dan kejadian yang belum dilalui oleh sahabat-sahabat sebelumnya.

 

Maka sudah menjadi kewajipan kepada mereka mencari, membahas dan mengkaji hukum-hukum untuk menghadapi peristiwa itu. Maka dengan itu bertambah luaslah lagi bidang ilmu fiqh.

 

Sepatutnya disebut bahawa ilmu fiqh sahabat-sahabat para tabiin tidak beku dengan berpegang kepada lafaz-lafaz nas sahaja, tetapi ia mengambil kira sama tentang hukum-hukum untuk menimbang akan sebab-sebab (illah) masa hendak menghukum itu atau untuk memberi fatwa. Sebagaimana yang jelas diketahui, bahawa pendapat mereka bermacam-macam dan berlainan. Ini disebabkan berlainan tempat dan kedudukan negeri masing-masing. Disamping berlebih kurang tentang memahami maksud ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith nabi. Oleh demikian terhasilah berlainan pendapat di antara satu dengan yang lain maka inilah yang dinamakan mazhab.

 

Di antara tabiin yang berijtihad diwaktu itu ialah :

1.      Di Madinah     : Said Al-Musayyab dan Abdullah bin Umar.

2.      Di Mekah        : Yahya bin Said, Rabiah bin Abdul Rahman, Atha bin Rabah.

3.      Di Yaman        : Hassan Al-Basri di Basrah, Thowas bin Kasan.

4.      Di Syam          : Makhul.

 

3.3.5 Di Zaman Umar bin Abdul Aziz

Pada tahun 100 Hijrah di zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, beliau telah menghantar ulama dan fuqaha ke seluruh negera. Selanjutnya kerajaan Bani Umayyah telah hilang, timbul pula kerajaan bani Abasiyyah, disamping itu timbul pula pertelingkahan di antara orang-orang Alawiyyin dengan orang-orang Abasiyyin. Dan pertelingkahan di antara Syiah dan Khawarij.

 

Turut berlaku pada masa itu penyambungan di antara pemikiran orang Arab dan Yunani (Grik Tua), iaitu sebagai natijah dari terjemahan dan pemindahan ilmu pengetahuan. Di masa itu juga mula disusun sunnah-sunnah nabi, fatwa-fatwa dan pendapat ulama. Dan ilmu fiqh di waktu itu telah masyhur ke seluruh pelusuk negeri dan ramailah orang yang mengikutnya dan beramal dengannya, sebagai natijahnya terdirilah beberapa golongan atau pengikut fuqaha.

 

Di zaman inilah nama imam-imam empat serangkai telah muncul dan temasyhur. Mereka adalah diumpamakan bulan purnama yang dikelilingi oleh bintang-bintang yang berselerak di sekelilingnya.

 

 

 

 

3.4 AL-IJMA’ DAN AL-QIYAS

Al-Quran dan Al-Hadith adalah sumber asasi bagi ilmu fiqh Islam, yang mana pada permulaannya ialah di zaman Rasulullah s.a.w, sumber-sumber ini bertambah mengikut peredaran masa dan bidang luas ilmu fiqh.

 

Selain daripada Al-Quran dan Al-Hadith ialah pendapat Rasulullah s.a.w yang sama dinamakan ijma. Maksud dengan ijma ialah persetujuan atau permuafakatan ulama di atas satu perkara atau hukum yang tidak ada nas dari Al-Quran dan Al-Hadith pada satu-satu masa.

 

Di sana terdapat juga “Al-Qiyas” kerana bahawasanya hukum syara mempunyai beberapa illah atau sebab-sebab yang boleh diketahui, apabila terdapat hukum yang dinaskan, maka bolehlah dipindahkan hukum itu kepada perkara yang tidak ada nas jika terdapat sama illahnya. Seperti wajib zakat pada padi adalah diqiyaskan daripada gandum, kerana terdapat sama pada illahnya, iaitu mengenyangkan dan tahan disimpan.

 

Maka dapat dibuat kesimpulan, bahawasanya Al-Quran, Al-Hadith, Al-Ijma dan Al-Qiyas merupakan sumber-sumber hukum yang terus hidup subur dan menjadi perbendaharaan yang besar yang membuka luas pintu-pintu bidang ilmu fiqh Islam, ia menambah perbendaharaan, kekuatan dalam hukum-hukum Islam.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

4.0 MAZHAB-MAZHAB YANG MUKTABAR DALAM ISLAM

 

Sebenarnya mazhab-mazhab dalam Islam adalah banyak, kerana ulama-ulama yang bekemampuan terdiri daripada sahabat-sahabat Nabi, para tabiin dan tabi Al-Tabiin yang mempunyai cukup syarat-syarat dan keperluan berijtihad adalah ramai, tetapi mengikut pendapat ulama, bahawasanya mazhab yang muktabar yang boleh dibuat pendapat dan beramal untuk umum cuma empat mazhab sahaja, mengikut qaul yang rajih. Iaitu :

  1. Mazhab Hanafi.
  2. Mazhab Maliki.
  3. Mazhab Syafi’e.
  4. Mazhab Hanbali.

 

Ini kerana keempat-empat mazhab ini ada mempunyai peraturan-peraturan, kaedah-kaedah dan panduan-panduan yang sempurna lagi lengkap yang ditulis oleh mereka dalam kitab-kitab mereka.

 

Yang mana menjadi bahan-bahan yang tak ternilai dalam perbendaharaan undan-undang Islam. Adapun mazhab-mazhab yang lain, maka tidak ada mempunyai kaedah-kaedah yang cukup yang dibukukan untuk dijadikan panduan dalam bidang perundangan sebagaimana yang empat tadi.

 

Ada juga mazhab-mazhab yang lain lagi selain daripada mazhab yang empat, tetapi tidaklah begitu terkenal dan lengkap dan tidak mempunyai kaedah-kaedah usul-usul yang dibukukan.

 

 

 

 

 

 

4.1 MAZHAB HANAFI

Mazhab ini diasaskan oleh Nu`man Bin Tsabit. Dilahirkan pada tahun 80 Hijrah. Beliau adalah seorang berjiwa besar dan berakhlak tinggi. Beliau seorang yang bijak dalam ilmu pengetahuan. Cekap memberikan satu-satu keputusan bagi masalah-masalah yang dihadapi. Oleh kerana beliau seorang yang berpengetahuan, bijak dan berakhlak mulia, maka beliau dapat membuat perhubungan yang rapat dengan pembesar negara. Ia mendapat tempat yang baik dalam masyarakat dan berjaya menyandang jawatan yang tinggi dalam pemerintahan.

 

Iman Abu Hanifah terkenal sebagai seorang alim dalam ilmu fiqh di negeri Iraq. Dan beliau juga sebagai ketua ahli fikir (ahli ra`u). Golongan cerdik pandai pada masa itu menyifatkan beliau sebagai “akal dalam ilmu pengetahuan”.

 

Semasa hidupnya, beliau dapat menuruti bermacam-macam pertumbuhan dan perkembangan ilmu pengetahuan, baik di bidang ilmu dan politik mahupun ilmu agama. Zaman beliau memang dikenali sebagai zaman pertumbuhan politik, agama dan ideologi-ideologi yang bermacam-macam. Beliau dapat hidup dalam dua zaman pemerintahan Umaiyyah dan juga di zaman pemerintahan Abasiyyah.

 

Sesungguhnya Abu Hanifah seorang yang luas pemikiran dan banyak ilmu. Tetapi beliau sangat merendah diri. Beliau tidak terpedaya dengan fikirannya sendiri. Dan beliau pernah berkata :”Bahawasanya pendapat kami adalah salah satu dari pendapat dan jika didapati pendapat yang lebih baik dan tepat maka pendapat itu lebih benar dan utama“.

 

Abu Hanifah seorang yang berperibadi tinggi dalam majlis perbahasan. Beliau tidak sekali-kali menghina mereka yang berbahas dengannya. Mereka tidak pernah mengkafirkan sesiapa yang berbahas dengannya, kerana beliau berpendapat : “Sesiapa yang mengkafirkan seseorang maka ia terlebih dahulu kafir dari orang itu.”

4.2 MAZHAB MALIKI

Pengasas mazhab Maliki ialah Malik Bin Anas, lahirnya di kota Madinah pada tahun 93 hijrah. Beliau dilahirkan 13 tahun selepas lahirnya Iman Abu Hanifah. Semasa hidupnya, Iman Malik dapat menurut dua corak pemerintahan iaitu Umaiyyah dan Abasiyyah, di mana pertelingkahan sengit dua pemerintahan sering terjadi. Di masa itu juga pengaruh ilmu pengetahuan Arab, Parsi dan Hindi tumbuh dengan suburnya dikalangan masyarakat di waktu itu.

 

Iman Malik menghafaz Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah s.a.w, Ingatannya sangat kuat dan menjadi adat kepadanya. Manakala beliau mendengar hadith-hadith daripada guru-guru, terus disimpulkan tali bagi menyenangkan perhitungan bilangan hadith-hadtih yang sudah beliau pelajari.

 

Pada permulaan hidup Imam Malik bercita-cita menjadi biduan tetapi ibunya menasihatkan supaya beliau meninggalkan cita-cita itu, dan meminta beliau supaya mempelajari ilmu fiqh, beliau menerima nasihat ibunya dengan baik.

Iman Malik adalah seorang guru yang miskin, pernah satu hari kayu bumbung rumahnya telah roboh, terus beliau menjual kayu itu untuk mendapat sedikit wang untuk perbelanjaan hidupnya, tetapi pada akhirnya beliau dimurahkan rezekinya sehingga beliau menjadi seorang yang kaya.

 

Setelah baliau menjadi seorang yang kaya, beliau memakai pakaian yang mahal dan memakai bau-bauan yang baik. Imam Malik adalah seorang yang aktif dalam menuntut ilmu. Beliau banyak membuat perhubungan dengan ahli-ahli hadith dan ulama. Imam Malik dianggap sebagai ketua atau imam bagi ilmu hadith.

 

Sanad-sanad (sandaran-sandaran) yang dibawa oleh beliau termasuk salah satu sanad-sanad yang terbaik dan benar. Beliau seorang yang dipercayai, adil dan kuat ingatannya, cermat dan halus memilih rawi-rawi hadith. Pendek kata Imam Malik adalah orang yang tidak diragui dalam konteks ini.

Imam Malik tetap berpegang teguh kepada hadith Rasulullah s.a.w dan menganggap hadith-hadith itu petunjuk dan penyuluh kepada manusia. Tidak harus seseorang meninggalkan dan membelakangkannya.

 

Sebelum Imam Malik menjadi guru, beliau lebih dahulu mendalami dalam bidang pelajaran sehingga kadang-kala beliau tidak tidur. Setelah fikiran beliau matang dan benar-benar berkebolehan barulah beliau mengajar.

 

Hukum-hukum fiqh yang diberikan oleh Imam Malik adalah berdasarkan Al-Quran dan hadith. Imam Malik menjadikan hadith sebagai pembantu bagi memahami Al-Quran, Imam Malik sangat cermat dalam memberi penerangan dan hukum-hukum. Beliau berfikir panjang sebelum memberi satu-satu hukum atau fatwa. Beliau pernah berkata : “Kadang-kala aku berjaga satu malam suntuk untuk mencari jawapan bagi satu-satu soalan yang dikemukakan kepada aku“.

 

Apabila beliau ditanya satu-satu hukum, beliau terus berkata kepada penanya: “Pulanglah dahulu supaya aku dapat berfikir“. Ramai manusia merendah-rendahkan Imam Malik dengan sebab beliau melewatkan menjawab sebarang pertanyaan. Imam Malik menangis dan berkata “Aku bimbang kerana aku akan disoal satu hari nanti dalam ( hari kiamat)“.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

4.3 MAZHAB SYAFI’E

Mazhab Syafie diasaskan oleh Muhamad bin Idris Al-Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 105 hijrah, sebuah bandar yang bernama Gaza di Palestin . Beliau seorang yang miskin, tetapi kaya dengan semangat dan bercita-cita tinggi dalam menuntut ilmu. Beliau banyak mengembara dalam menceduk dan menimba ilmu.

 

Imam Syafie dianggap seorang yang dapat menggabungkan antara hadith dan fikiran dan membentuk undang-undang fiqh. Pada permulaannya beliau cenderung dalam bidang sastera dan syair-syair, tetapi beliau mengubah pendiriannya kepada mempelajari ilmu fiqh dan hadith hingga sampailah beliau ke kemuncak yang paling tinggi dalam bidang tersebut.

 

Imam Syafie ialah imam yang ketiga mengikut susunan tarikh kelahiran. Beliau adalah penyokong kepada ilmu hadith dan pembaharu agama (mujaddid) bagi abad yang ke-2 hijrah. Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata : “Diceritakan kepada nabi muhamad s.a.w bahawa Allah menghantar kepada umat ini seorang pembaharu kepada agama, Umar Bin Abdul Aziz dihantar untuk abad yang pertama dan aku harap Imam Syafie merupakan mujadid abad yang kedua.”

 

Nama asalnya ialah Muhamad Bin Idris, lahir di bandar Gaza di Palestin pada tahun 105 hijrah, inilah tarikh paling masyur dikalangan ahli sejarah. Beliau adalah keturunan Bani Hashim dan Abdul Mutalib. Keturunannya bertemu dengan keturunan Rasulullah s.a.w pada datuk Rasulullah s.a.w iaitu Abdul Manaf.

 

Semasa muda Imam Syafie, hidup dalam kemiskinan, hingga beliau terpaksa mengumpul batu-batu, belulang, pelepah tamar dan tulang-tulang untuk ditulis di atasnya, kadang-kadang beliau terpaksa pergi ke tempat-tempat perhimpunan orang ramai meminta kertas untuk menulis pelajarannya.

 

Imam Syafie menghafaz Al-Quran dengan mudah, iaitu semasa beliau masih kecil lagi, beliau menghafaz dan menulis hadith-hadith. Beliau sangat tekun mempelajari kaedah-kaedah dan nahu bahasa Arab. Untuk tujuan itu beliau pernah mengembara ke kampung dan tinggal bersama dengan puak Hazyal selama 10 tahun. Kerana puak ( kabilah ) Hazyl terkenal suatu kabilah yang paling baik bahasa Arabnya.

 

Imam Syafie banyak menghafaz syair-syair dan qasidah dari puak Hazyl, begitu juga beliau banyak menumpukan masa dan tenaganya kepada sastera dan sejarah pada masa mudanya, tetapi Allah mengkehendaki dan melorongkan kepadanya dalam bidang ilmu fiqah.

 

Di antara sebabnya, pada suatu hari Imam Syafie bersyair sambil menunggang kuda bersama-sama beliau seorang lelaki. Lalu berkata lelaki itu: “tidak sesuai engkau bersyair kerana itu boleh menjatuhkan maruah. Alangkah baiknya belajar ilmu fiqh?” Kata-kata itu sangat memberi kesan kepada Imam Syafie. Dari sejak itu beliau menumpukan masa dan tenaga kepada ilmu fiqh.

 

Salah seorang guru Imam Syafie dalam pelajaran ilmu fiqh dan hadith ialah Imam Malik. Ilmu fiqh yang dibawa oleh Imam Syafie adalah merupakan satu zaman perkembangan ilmu fiqh dalam sejarah perundangan Islam kerana beliaulah yang menghimpunkan atau menyatukan ilmu fiqh ahli-ahli akal dan fikir dengan ilmu fiqh ahli-ahli akal dan hadith.

 

Ilmu fiqh Imam Syafie juga merupakan ikatan sunnah dan qias, dan pemikiran dengan beberapa pertimbangan dan sekatan sebagaimana ia juga ilmu fiqh yang menetapkan cara-cara atau peraturan untuk memahami Al-Quran dan Al-Hadith. Juga ia menetapkan kaedah-kaedah pengeluaran hukum dan kesimpulannya. Lantaran itulah beliau berhak dianggap penaja bagi ilmu usul fiqh.

 

 

4.4 MAZHAB HANBALI

Nama bagi pengasas mazhab Hanbali ialah Ahmad Bin Mohamad Bin Hanbal. Lahir di bandar Baghdad pada tahun 164 hijrah. Ibnu Hanbal adalah dari keluarga miskin, kerana bapanya tidak meninggalkan di waktu matinya melainkan sebuah rumah yang kecil yang didiaminya. Untuk menampung kehidupannya, belaiu terpaksa bekerja di kedai jahit untuk mengambil upah.

 

Ibnu Hanbal menuntut ilmu sepanjang hayatnya. Beliau tetap mempelajari hadith sehingga beliau menjadi seorang imam, orang pernah berkata kepadanya: “Sampai bilakah engkau nak menuntut ilmu? Padahal engkau sudah mencapai darjat paling tinggi dan engkau telah menjadi imam bagi seluruh umat Islam?” Imam Ibnu Hanbal menjawab: “Aku menuntut ilmu dari hujung dunia hinggalah ke pintu kubur.” Memang benar beliau tidak pernah jemu menuntut ilmu sepanjang hayatnya.

 

 Imam Syafie adalah salah seorang dari guru Ahmad Bin Hanbal. Ibnu Hanbal bertemu Imam Syafie semasa di Hijaz, sewaktu beliau menunaikan fardu haji, Imam Syafie mengajar di Masjidil Haram. Ibnu Hanbal mempelajari daripadanya, kemudian mereka bertemu pula pada kali kedua di Baghdad, Imam Syafie menasihatinya supaya beliau mengikutnya ke Mesir.

 

 

 

 

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: