MYTAJIDID LAMAN REMAJA ISLAM

Just another WordPress.com weblog

Ibadah

HAID,JUNUB BACA AL-QURAN?

Oleh Allahyarham Ustaz Said Bin Mohd Salleh.

Masalah membaca al-Quran bagi orang berjunub, haidh dan nifas

 Berdasarkan hadis riwayat at-Tirmizi dan Al-Baihaqi daripada Ibnu Umar ra :ولا تقرأ الحــائض ولا الجــنب شـــيئا من القرأن

 

“Tidak boleh membaca walau sesuatu pun dari Al-Quran wanita yang sedang haid dan juga yang berjunub”

 

1) Jumhur Fuqaha menghukumkan HARAM (berdosa besar) membaca Al-Quran ketika dalam haidh atau  sedang berjunub selagi belum mengangkat hadas besar. Inilah pendapat yang sohih lagi masyhur.

 

2) Wanita haidh, dalam mazhab kita As-Syafi’i adalah haram membaca al-Quran. Hukum ini diriwayat dari para sahabat seperti Saidina Umar r.a., Ali, Jabir, ulama salaf dari tabi’in seperti Al-Hasan Al-Basri, Qotadah, ‘Atok( عطأ) ,  Abu Al-’Aliyah, An-Nakha’i, Said bin Jubair, Az-Zuhri, Ishaq, Abu Thaur.

3) Dari Imam Malik, Abu Hanifah dan Imam Ahmad terdapat dua riwayat; Satu mengatakan Haram dan satu lagi kata harus. Riwayat yang mengatakan harus itu memberi dua alasan pula; pertama: kerana tempoh haidh (dan nifas) itu lama bimbang lupa bacaan dan kedua: kerana jika wanita itu seorang guru yang mengajar al-Quran.

4) Terhadap dua alasan di atas, pertama takut lupa kerana tempoh haidh itu lama. Ini tertolak kerana tempoh haidh biasanya enam atau tujuh hari. Kalau lama pun boleh dibaca dalam hati untuk mengingatnya. Alasan kedua iaitu jika mengajar al-Quran, maka ia harus sekadar hajat mengajar sahaja.

5) Dalil mereka yang mengharuskan membaca al-Quran ketika haidh ialah riwayat yang mengatakan isteri Nabi S.A.W. Aisyah membaca Al-Quran ketika haidh. Riwata ini tidak boleh dijadikan hujah kerana para sahabat yang lain mengatakan haram. Jika berlaku khilaf (berbeza pendapat tentang hukum), maka dikembalikan kepada kias iaitu kias kepada hukum berjunub, haram membaca al-Quran.

6) Membaca Al-Quran dalam hati tanpa menggerakkan lidah, tanpa memegang Al-Quran adalah harus – dibolehkan.

7)Segala zikir-zikir seperti tahlil, tahmid, tasbih boleh – harus diucapkan dengan lidah.

 

 

 

 

 

SOLAT BERJEMAAH

 

Susunan: Allahyarham Ustaz Said Mohd Salleh

Mantan Imam Masjid Jamik As-Solihin, Johor Bahru.

 

  

 

 

Dalil Solat berjamaah:

 

Firman Allah bermaksud: “Dan dirikanlah solat, keluarkan zakat dan  rukuklah berserta orang-orang yang rukuk”. (Surah Al-Baqarah,). 

 

Ayat ” dan  rukuklah berserta orang-orang yang rukuk” itu membawa erti perintah mendirikan solat secara berjemaah. Perintah ini bermakna wajib jika tidak mendirikan solat berjemaah.

 

 

Dari hadis-hadis (sunnah) pula 

 1) Dari Abi Hurairah r.a. Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Solat berjamaah lebih utama daripada solat kamu sendirian dengan dua puluh lima bahagian”.

                     (Sahih Muslim, 2:122, Sunan An-Nasai,2:103).

 

2) Dari Ibnu Umar r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Solat berjamaah lebih utama daripada solat sendirian dengan dua puluh tujuh darjat”.
                (Sahih Muslim, 2:122, Sunan An-Nasai,2:103).

 
3)
   Berkata Abu Ad-Darda’ :Aku dengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak ada tiga orang di sebuah kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat melainkan syaitan menguasai mereka. Maka hendaklah kamu berjamaah. Sesaungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpencil sendirian”.      (Sunan An-Nasai,2:107).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SOLAT MU’ADAH ATAU I’ADAH (ULANGAN)

صـلاة اعـادة اتاو معـادة 

 

Susunan: Allahyarham Ustaz Said Mohd Salleh

 

Rujukan utama:

Kitab Al-Majmuk, Syarh Al-Muhazzab oleh Imam An-Nawawi. 

 

 

Takrifnya

 

Mengulang lagi solat fardhu yang baru sahaja telah dibuat.

 

Dalilnya 

1- Abu Sa’id Al-Khudri menceritakan seorang lelaki datang ke masjid, Nabi S.A.W. dan sahabat sudah selesai solat. Lalu Nabi S.A.W. bersabda: “Siapayang hendak bersedekah kepada orang ini?”. Lalu bangun seorang  sahabat bersolat dengannya.( dalam Sunan al-Baihaqi mengatakan sahabat yang bangun itu ialah Saidina Abu Bakr As-Siddiq). (Hadis ini riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi, Hadis Hasan Sohih,  Al-Majmuk, 4:221-222).

2- Yazid bin Al-aswad al-’Amiri menceritakan Nabi S.A.W. setelah selesai solat Ghudat (solat Subuh) di Masjid Al-Khaif baginda (mengadap makmum) terpandang dua orang lelaki di belakang makmum yang tidak solat, lalu baginda bertanya: “Apa yang menghalang kamu dari solat bersama kami?”. Jawab mereka: “Kami sudahpun solat (Subuh) dalam perjalanan kami tadi”.”Jangan kamu lakukan, sekalipun kamu sudah solat dalam perjalanan, kemudian kamu tiba di masjid di mana orang sedang berjemaah hendaklah kamu bersolat bersama mereka. Sesungguhnya solat kamu (yang kedua) itu dapat pahala tambahan”. Baginda bersabda:

(Hadis ini riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi, Hadis Hasan Sohih,  Al-Majmuk, 4:222-223).

 

Hukumnya

 

Mustahabb (dikasihi oleh Nabi S.A.W. iaitu sunat atau sunnah hukumnya).

 

Sebab-sebabnya 

 

Hadis pertama, Saidina Abu Bakr As-Siddiq membantu supaya sahabat yang baru datang dapat pahala solat bejemaah. Sementara beliau sendiri dapat pahala sedekah dan pahala berjemaah sekali lagi. Bukankah besar untung perniagaan Saidina Abu Bakr itu?.

 

Hadis kedua pula memberi pahala berjemaah tambahan (sunat/fadhilat) kepada mereka yang mengulang solat dengan berjemaah sekali lagi.

 

   

Syarat-syarat jadi solat i’adah

 

 

1- Hendaklah solat ulangan (I’adah) itu solat fardhu yang lima waktu.

 

2- Bukan solat qadhak. (kalau solat qadhak dibuat berjemaah dengan orang lain ia jadi solat qadhak juga tetapi dapatlah pahala berjemaah itu).

 

3- Selain dari solat fardhu lima waktu tidak sah diulang seperti solat janazah.

 

4- Solat yang diulang itu sah jika dilakukan berjemaah. Tidak kira sama ada solat yang pertama itu dilakukan berjemaah atau sendirian.

 

5- Ada solat-solat sunat yang sah dilakukan berulang kali seperti  sunat hajat, istikharah, tahajjud, tasbih tetapi bukan dinamakan solat i’adah atau mu’adah.

 

6- Sunat ulangan itu hanya sekali sahaja bagi satu solat fardhu. 

 

7- Solat fardhu yang diulang itu bukan solat qasar atau jamak. 

 

 

Niat solat i’adah itu ialah niat solat fardhu juga, tidak disyaratkan niat mengulang kerana maksudnya untuk mengulang itu sudah ada. Contohnya: “Sahaja aku solat fardhu isyak empat rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”. 

Inilah dia solat fardhu yang mendapat pahala sunat tetapi sangat besar pahalanya kerana sebab-sebab yang di atas tadi.

 

 

Jika seseorang itu telah menjamakkan solatnya atau mengqasarkan seperti dalam musafir, di satu tempat, contohnya ia sudah jamak, qasar solat Zohor dan Asar kemudian di tempat lain ia bertemu dengan jemaah yang hendak solat Asar. Jika ia mahu mengulang solat Asar berjemaah adalah sah baginya. 

 

 

Perbezaan pendapat ulama mengenai solat fardhu yang sah diulang 

 

 

1- Pendapat yang sohih dalam mazhab kita As-Syafi’i ialah semua solat fardhu yang lima waktu sah dan sunat diulang. Pendapat ini menepati juga dengan pendapat Imam-imam Ali ibni Abu Talib, Huzaifah, Anas bin Malik, Sa’id bin Al-Musaiyyab, Ibnu Jubair, Az-zuhri.

 

2- Ibnu Mas’ud, Malik, Al-Auza’i, Ath-Thauri mengatakan semua solat fardhu lima waktu sah diulang kecuali fardhu Maghrib kerana jika diulang ia jadi genap rakaatnya enam rakaat, sedangkan fardhu Maghrib tiga rakaat sahaja.

 

3- Imam Al-Hasan Al-Basri mengatakan fardhu Subuh dan Asar tidak sah diulang kerana selepas solat Subuh dan Asar tiada solat lagi.

 

4- Imam  Abu Hanifah mengatakan hanya fardhu Zohor dan Isyak sahaja yang sah diulang. Bagi Subuh dan Asar kerana tiada solat lagi selepasnya. Bagi fardhu Maghrib akan menjadikan rakaatnya genap enam rakaat jika diulang.

 

5- Imam An-Nakha’i mengatakan fardhu Subuh dan Maghrib tidak sah diulang. Tiada alasan yang dicatatkan.

(Lihat semuanya dalam Al-Majmuk, 3:223, 225) 

 

6- Pendeapat yang lain mengatakan sunat mengulang untuk mendapatkan fadhilat yang lebih jika imamnya lebih banyak ilmu atau lebih warak atau lebih banyak jemaahnya atau tempatnya lebih mulia.

(Al-Majmuk, 3:223) 

 

Kesimpulan dari perbezaan pendapat 

 

Pendapat 2 hingga 5 ternyata lemah kerana bertentangan dengan hadis-hadis di atas kerana dalil umum dari hadis-hadis di atas itu ternyata sohih dan jelas. 

(Al-Majmuk, 3:225)

 

Pendapat pertama dinyatakan sohihnya oleh As-Syeikh Abu Hamid, Al-Qodhi Abu Toiyyib, Al-Bandniji, Al-Mawardi, Al-Mahamili, Al-Baghawi, Ibnu As-Sibagh, Ar-Rafi’i dan lain-lain yang tak terkira banyaknya.

(Al-Majmuk, 3:223-224) 

 

Pendapat yang lain-lain saya  cenderung mengatakan ia lebih bersifat pemikiran (Ar-Rakyi / الـرأي ), terkeluar dari Sunnah dan Ijmak yang menjadi sumber hukum. Wasalamu alaikum warahmatullah.

 

IBADAT QURBAN / عبـادة قـربان   

 

 Ibadah Qurban

 

 

 

Susunan:

Allahyarham Ustaz Said Mohd Salleh.

Mantan Imam Masjid Jamik As-Solihin, Tampoi, Johor Bahru.

 

 

Pengertian qurban;

 

Dari sudut bahasa : qurban bererti hampir, rapat, dekat.

Dari perkataan  kata buat Qaruba /  قَــربَ 

 

Pada Istilah fiqh: Menyembelih binatang an’am /  أنعـام untuk ibadat mendekatkan diri kepada Allah Swt.

   

 

 

Firman Allah SWt. bermaksud: “Ceritakan kepada mereka (orang Yahudi itu wahai Muhammad) dengan cerita yang sebenar mengenai dua orang anak Nabi Adam ‘Alaihissalam (Qabil dan Habil). Kedua-duanya buat ibadat qurban mendekatkan diri (kepada Allah) maka diterima dari yang seorang dan tidak diterima (ditolak) dari yang seorang lagi….” (Surah Al-Maidah /المـائـدة, 27). 

  

Binatang an’am ialah: unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri. Rusa, kijang, pelanduk atau yang sejenis dengannya jika diternak seperti di ladang boleh dijadikan qurban sebagaimana ia wajib dikeluarkan zakat. Rusa, kijang, pelanduk dan binatang yang sejenisnya dikiaskan kepada lima binatang  itu. Bila jadi binatang ternak (an’am) bolehlah dijadikan qurban dan dikeluarkan zakat.

Firman Allah  bermaksud: “… Supaya mereka menyebut nama Allah yang memberi rezeki kepada mereka dari binatang an’am”. (Surah  al-Hajj, 24).

 

Binatang dalam keluarga burung seperti ayam, itik dan burung unta sekalipun diternak oleh manusia tidak ada nas mengatakan sah dijadikan binatang qurban. Tidak sah ibadat qurban dengan binatang jenis burung.

 

 

Sejarah ibadat qurban.

 

 

(1) Mimpi Nabi Ibrahim Alaihissalam (A.S.)

 

Bermula dari Nabi Ibrahim A.S. berdoa kepada Allah Swt. memohon dikurniakan anak yang soleh. Dirakam dalam al-Quran, surah As-Soffat / الصـافات, ayat 100 – 108; “Tuhanku, kurniakan kepadaku anak yang soleh(100). Lalu Kami gembirakan dia dengan seorang anak yang amat lemah lembut(101). Bila anak itu sudah boleh membantu ayahnya, Ibrahim berkata: “Wahai anakku, aku bermimpi menyembelih kamu, apakah pandanganmu?”. Jawab anak itu: “Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan, engkau akan dapati insyaAllah aku orang yang sabar”(102). Bila kedua-keduanya telah berserah diri, Ibrahim membaringkan anaknya(103). Lalu Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!(104). Sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu, Bahawasanya Kami demikianlah memberi balasan kepada orang yng berbuat baik(105). Bahawa ini adalah benar-benar ujian(106). Dan Kami tebus sembelihan anaknya dengan satu sembelihan yang agung(107). Dan Kami abadikan Ibrahim itu jadi kenangan dan ikutan mereka yang kemudian”(108).

 

Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad Al-Ansori Al-Qurtubi dalam Tafsir  Al-Jamik Li Ahkamil Quran / الجامع لأحكام القرءان, dikenali dengan Tafsir Al-Qurtubi / القرطبى memetik riwayat menceritakan Nabi Ibrahin A.S. bermimpi  malam pertama perintah menyembelih anaknya. Siangnya ia menimbang-nimbang memikirkan adakah mimpi itu dari Allah atau syaitan?. Lalu hari itu dinamakan hari Tarwiyah / ترو يـة iaitu 8 Zulhijjah.

 

Malam berikutnya ia bermimpi lagi perintah menyembelih anaknya. Siangnya ia temui kesedaran bahawa mimpi itu pastinya datang dari Allah. Lalu dinamakan hari Arafah / عـرفة iaitu 9 Zulhijjah.

Malam berikutnya ia bermimpi lagi perintah menyembelih anaknya. Siangnya  ia  yakin bahawa inilah hari ia patut sembelih anaknya . Ia lalu bersiap sedia  untuk melaksanakan perintah Allah S.Wt. itu. Lalu dinamakan hari Nahar / نحـر   (hari sembelih) iaitu 10 Zulhijjah.

 

Seorang ahli tafsir Tabi’i bernama Muqatil mengatakan Nabi Ibrahim A.S. bermimpi tiga malam berturut-turut. (Al-Qurtubi, 15:101).

 

Ibnu Abbas mengatakan mimpi para nabi itu adalah wahyu (Al-Qurtubi, 15:102).

Muhammad bin Ka’ab mengatakan rasul-rasul itu mendapat wahyu dalam keadaan jaga dan dalam mimpi.

Sebuah hadis marfuk / مـرفوع Nabi SAW bersabda maksudnya: “Kami para nabi, mata kami tidur tetapi hati kami tidak tidur”. (Al-Qurtubi, 15:102).

Jadi, benar dan tepatlah mimpi Nabi Ibrahim A.S. itu adalah wahyu perintah Allah S.Wt. 

  

 

(2) Anak yang disembelih oleh Nabi Ibrahim A.S. 

 

Satu Pendapat mengatakan anak itu  ialah Nabi Ishak A.S. Mereka adalah:

  

Dari kalangan sahabat

Abdullah bin Abbas (dari) Al-Abbas sendiri. (Al-Qurtubi, 15:99 -100). Riwayat dari Jabir bin Abdullah, Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Umar.

 

Dari kalangan Tabi’in;

‘Alqamah, As-Sya’bi, Mujahid, Said bi Jubair, Kaab Al-Ahbar, Qatadah, Masruq, ‘Akramah, Al-Qasim bin Abi Bazzah, Ata’, Muqatil, Az-Zuhri,  As-Suddi, Abdullah bin Abi al-Huzail, Malik bin Anas. (Al-Qurtubi, 15:100). Termasuk Ahlul Kitab sendiri. (Al-Qurtubi, 15:100).

 

Hujah kaum muslimin yang mengatakan Nabi Ishak ialah Allah sebutkan kalimat Basysyara /بَـشـرbila berfirman memberitahu hendak kurniakan anak kepada Nabi Ibrahim A.S. dan kalimat itu dikaitkan dengan Nabi Ishak seperti ayat 112 surah As-Saffat. Oleh itu ayat 101 itu maksudnya ialah Nabi Ishak pada mereka kerana Allah sebut kalimat yang sama iaitu Basysyara. (Al-Qurtubi, 15:101).

 

 

Pendapat kedua mengatakan anak yang disembelih itu ialah nabi Ismail A.S. Mereka adalah;

 

Dari kalangan sahabat;

Riwayat dari Abu Hurairah, Abu at-Tafil ‘Amir bin Wailah, juga riwayat dari Umar dan Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhum (r.a.) (Al-Qurtubi, 15:100).

 

Dari kalangan Tabi’in; 

Said al-Musaiyab, As-Sya’bi, Yusuf bin Mahran, Ar-Rabi’ bin Anas, Muhammad bin Kaab al-Qurazi, Al-Kalbi, ‘Alqamah rahimahumullah (rh) (Al-Qurtubi, 15:100).

 

 

Hujah mereka:

1) Allah kaitkan Nabi Ismail dengan sifat sabar dan halim (seperti ayat 101 -102 surah As-Saffat). Sifat ini tidak disebut kepada Nabi Ishak (Al-Qurtubi, 15:101).

 

2) As-Sya’bi mengatakan ia lihat ada sepasang tanduk kibas yang digantung di kaabah (Tafsir Ibnu Kathir 4:19).  Kata Ibnu Abbas r.a: “Sejak awal Islam kepala kibas dilihat  dengan tanduknya tergantung di Kaabah dan sudah kering”. (Al-Qurtubi, 15:106).

 

3) ‘Ata’ bin Abi Rabah meriwayatkan dari Ibnu Abbas katanya orang Yahudi dusta kerana menyangka yang disembelih itu Nabi Ishak (Ibnu Kathir, 4:19).

 

4) Khalifah Umar bin Abdul Aziz bertanya kepada seorang bekas pendeta Yahudi yang telah Islam di Syam dan ia menjadi Muslim yang baik. Ia ditanya oleh Khalifah Umar tentang ini katanya yang disembelih itu ialah Nabi Ismail. Kata pendeta itu lagi bahawa orang yahudi tahu tetapi mereka irihati kepada orang Arab kerana Nabi Ismail itu bapa orang Arab sedangkan nabi ishak itu bapa orang yahudi. (Yahudi mahu berbangga dengan Nabi Ishak. Kita umat Islam terima mana yang benar).

 

5) Al-Asma’i الأصـمـعـى menceritakan ia pernah bertanya kepada Abu Amru bin Al-’Ala jawab Abu Amru bila masa nabi Ishak ke Mekah?. Bukankah Sembelihan itu berlaku di Mekah?. Sudah tentulah yang disembelih itu Nabi Ismail. (Al-Qurtubi, 15:100).  

 

6) Imam Ibnu Kathir lebih cenderung mengatakan bahawa mereka yang mengatakan anak yang disembelih itu sebagai Nabi Ishak A.S. adalah diambil dari pendeta (Ahbar) Ahli Al-Kitab bulat-bulat tanpa hujah. Sedangkan dalil Al-Quran jelas menunjukkan anak itu ialah Nabi Ismail A.S. Ayat perintah sembelih dari ayat 102 – 107 surah As-Soffat kemudian barulah datang ayat mengenai kelahiran Nabi Ishak A.S. iaitu ayat 112 dan 113.(Ibnu Kathir, 4:15).

 

7) Imam As-Sayuti melalui Tafsirnya Ad-Durrul Manthur memetik dari riwayat yang dikeluarkan oleh Ibnu Jarir, Al-Aamidi, Al-Kahla’i, Al-Hakim dan Ibnu Mardawaih dengan sanad yang lemah dari Abdullah bin Said As-Sunayaji yang menceritakan ia berada dalam satu majlis bersama Muawiyah bin Abu Sufian r.a. orang ramai bertanya-tanya siapa yang disembelih oleh Nabi Ibrahim A.S.? Muawiyah lalu bercerita: “Sewaktu aku bersama Rasulullah S.A.W. datang seorang warga pedalaman mengadu kepada Rasulullah S.A.W. dirinya ditimpa musibah menyebabkan hartabenda, binatang ternakan dan telaganya semuanya musnah. Lalu minta Rasulullah S.A.W. doakan dengan katanya: “Tolonglah kembalikan kepada saya dari kurniaan Allah ke atasmu wahai anak dua sembelihan!. Orang itu menyebut Rasulullah S.A.W.sebagai anak dua sembelihan. Rasulullah S.A.W.tersenyum dan tidak membantah perkataan anak dua sembelihan itu”. (seolah-olah membenarkannya). Orang bertanya kepada Muawiyah r.a. Siapakah  dua sembelihan itu?.  Jawab Muawiyah: “(Satu), Abdul Muttalib (Datuk Nabi S.A.W.) tatkala hendak mengorek telaga Zam Zam ia bernazar jika dapat dikorek dengan mudah ia akan sembelih seorang anaknya. Bila telaga itu berjaya dikorek ia undi dari sepuluh orang anaknya. Undian itu jatuh kepada Abdullah bapa Nabi S.A.W.(masa itu Abdullah masih remaja – belum berkahwin). Bapa-bapa saudara dari sebelah ibu Nabi S.A.W dari Bani Makhzum (Adik beradik ibu Nabi) membantah dan meminta bakal ipar  mereka itu ditebus dengan sembelihan lain. Abdul Muttalib lalu menebus dengan menyembelih seratus ekor unta betina. Sementara seorang lagi yang disembelih ialah Ismail”.  (Itulah dia dua sembelihan ).(Ad-Durrul Manthur, 7:106).

 

8) ‘Abd bin Hamid, Ibnu Jarir, Al-Hakim, mengambil dari Muhammad bin Ka’ab yang mengatakan anak yang disembelih itu ialah Nabi Ismail A.S. berdasarkah firman Allah setelah menceritakan mengenai peristiwa sembelihan dari ayat 102 – 107 As-Saffat barulah Allah menceritakan mengenai memberi berita gembira kepada nabi Ibrahim A.S. akan memperolehi anak bernama Ishak (112 – 113 As-Soffat).  

 

Pendapat ketiga iaitu dari Az-Zajjaj mengatakan Allah sahaja yang maha mengetahui anak yang mana satu yang disembelih sama ada Nabi Ismail atau nabi Ishak. (Al-Qurtubi, 15:101).

 

Kesimpulannya anak yang disembelih oleh Nabi Ibrahim itu ialah Nabi Ismail A.S.

 

 

(3) Nabi Ibrahim membawa anaknya untuk disembelih dan diganggu oleh syaitan.

 

Al-Qurtubi memetik riwayat dari Ka’ab dan lain-lain ketika Nabi Ibrahim A.S membawa anaknya hendak disembelih, datang syaitan menyerupai seorang lelaki kepada isteri Nabi ibrahim A.S. dan bertanya: “Tahukah kamu ke mana Ibrahim hendak membawa anak kamu”.

Jawab wanita itu: “Tidak tahu”.

Syaitan: “Sesungguhnya ia hendak sembelih budak itu”. 

Isteri Nabi Ibrahim: “Mana mungkin,  ia sangat sayang kepada anaknya itu”.

Syaitan: “Ia sangka Tuhannya menyuruh sembelih”. Jawab wanita yang itulah satu-satu anaknya: “Jika benar itu perintah Tuhannya, sangat baiklah ia taat kepada Tuhannya”.

Syaitan tidak putus asa, ia pergi mendapatkan anak yang hendak disembelih.

Kata syaitan: “Tahukah kamu ke mana  kamu hendak dibawa oleh bapa kamu?”.

Anak: “Tidak tahu”.

Syaitan: “Ia hendak sembelih kamu”.

Anak: “Kenapa”.

Syaitan: ” Ia sangka  itu perintah Tuhannya”.

Anak: “Biarlah ia lakukan perintah Tuhannya, tanda patuh dan taat perintah Allah”.

Syaitan masih tidak putus harap, ia dapatkan Nabi Ibrahim A.S. pula. 

Kata syaitan: “Kamu mahu ke mana?. Demi Allah syaitan yang datang dalam tidurmu menyuruhmu sembelih anakmu”. Nabi Ibrahim lalu mengenali bahawa itu adalah syaitan lalu ia berkata: “Nyahlah kamu wahai musuh Allah.  Demi Allah akan terlaksana perintah Tuhanku. Tidak sekali-kali si mal’un (terkutuk) boleh menghalangnya”. (Al-Qurtubi, 15:105-106).

 

Riwayat dari Ibnu Abbas r.a. Syaitan mengganggu Nabi Ibrahim pertama di Jamrat il-Aqobah, lalu dilontar dengan tujuh biji anak batu,  kemudian mengganggu pula di Jamrat il-Wusto dilontar dengan tujuh biji anak batu, Kemudian mengganggu lagi di Jamrat il-Ukhra (Al-Ula), lalu dilontar lagi dengan tujuh biji anak batu. (Al-Qurtubi, 15:106). (Kemudiannya menjadi syari’at dalam ibadat haji iaitu satu daripada waji-wajib haji; melontar tiga jumrah; Ula, Wusto dan Aqobah pada hari-hari tasyriq – p).

 

 

(4) Tempat sembelih.

 

1- Petikan dari Sa’id bin Jubair tempatnya di atas batu di kaki bukit Thabir di Mina. 

2- Dari Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Muhammad bin Kaab dan Sai’d bin Al-Musaiyab ialah tempat sembelihan tempat melontar di Mina.

3- Ada yang mengatakan di Maqam Ibrahim.

4- Ibnu Juraij pula mengatakan di Baitul Maqdis.(Mereka yang mengatakan anak itu ialah Nabi Ishak A.S.). 

(Al-Qurtubi, 15:106).

(5) Peristiwa sembelihan anak.

 

Ayat 103 surah As-Soffat: “Tatkala kedua-duanya telah berserah diri (kepada Allah) dan (Ibrahim) membaringkan anaknya mengereng”.

Nabi Ibrahim  A.S. mengeluarkan pisau, membaringkan anaknya……

Kata anaknya: “Wahai bapaku, kuatkan ikatan agar aku tidak meronta-ronta. Gulung bajumu agar tidak terpercik darah nanti dilihat ibuku ia akan sedih. Pantaskan gerakan pisau di leherku agar segera matiku. Palingkan mukamu agar engkau tidak melihatku nanti kamu akan kasihan melihatku. Aku juga tak mahu melihat mata pisau nanti aku jadi gementar. Bila engkau pulang ucapkan salamku kepadanya (ibuku)”.  (Al-Qurtubi, 15:104).

 

Nabi Ibrahim mula melalukan pisau yang tajam itu ke atas leher anaknya sambil berdoa: “Wahai Tuhanku, terimalah dariku untuk keredaan-Mu”. (Al-Qurtubi, 15:105).

 

Allah mewahyukan kepada Nabi Ibrahim A.S. : “Wahai Ibrahim, bukanlah maksud menyembelih anakmu tetapi maksudnya ialah penyerahan jiwa ragamu kepada-Ku. Bila engkau kembalikan  seluruh jiwa ragamu kepada-Ku aku serah kembali anakmu kepadamu”. (al-Qurtubi, 15:105).

 

Inilah maksud firman Allah ayat 106 surah As-Soffat bermaksud: “Sesungguhnya ini adalah benar-benar ujian yang nyata”.

Kerana itu bila Nabi Ibrahim melalukan pisau ke leher anaknya, Allah melapiskan dengan tembaga sehingga mata pisau itu tidak melukakan sama sekali. Ditelungkupkan anaknya dan disembelih di tengkoknya pun tidak juga luka.  (al-Qurtubi, 15:104).

 

 

(6) Sembelihan anak diganti dengan sembelihan kibas. 

 

Firman Allah bermaksud: “Dan kami tebus (sembelihan anak itu) dengan satu sembelihan yang agung”.(As-Soffat, 107).

 

Kata Ibnu Abbas r.a. tebusan yang agung itu ialah seekor kibas yang didatangkan dari syurga yang yang dipelihara  selama empat puluh musim yang menjadi tebusan sembelihan Nabi Ismail A.S. (Al-Qurtubi, 15:107). Al-Qurtubi memetik riwayat Ibnu Abbas mengatakan kibas itu pernah dijadikan qurban oleh Habil anak Adam A.S. (Al-Qurtubi, 15:107). ( Habil seorang penternak kibas, ia memilih seekor kibas yang terbaik dijadikan qurban. Qurbannya diterima Allah dan di angkatkan ke syurga, dipelihara di situ hingga diturunkan kembali sebagai tebusan sembelihan Nabi Ismail A.S. (Al-Qurtubi, 6:134).)

 

Kata Al-Hassan r.a.. tebusan itu ialah kambing hutan atau kambing liar yang disebut Tais /تيس yang turun dari bukit Thabir (di Mina).  Saidina Ali Karramallahu wajhahu juga berpendapat demikian. Bila terlihat oleh Nabi Ibrahim A.S. ditangkap dan disembelihnya. Ia berkata kepada anaknya ismail A.S.: “Wahai anakku, hari ini aku dikurniakan (kambing ini)”.

                                                                       (Al-Qurtubi, 15:107).

 

Kata Abu Ishak Az-Zajjaj bahawa Nabi Ibrahim A.S.menebusnya dengan kambing gunung atau kambing liar bukit yang disebut Ba’al / بعـل  (Al-Qurtubi, 15:107).

 

Namun bila disebut oleh Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan Kami tebus sembelihan anak itu dengan satu sembelihan yang agung” Ahli-ahli tafsir mengatakan smbelihan yang agung itu ialah sembelihan yang mulia dan semestinya kibas yang didatangkan dari syurga. Ibnu Jarir (At-Tabari ) memetik riwayat Ibnu Abbas r.a. yang juga mengatakan bahawa kibas itu dipelihara dalam syurga selama empat puluh musim. (Ad-Durrul Manthur, 7:114). Satu musim di akhirat sama dengan seribu musim di dunia (mafhum dari surah As-Sajadah ayat 5).

 

Nabi Ibrahim dan anaknya lalu menyembelih kambing itu. Waktu sembelih itu Jibril bertakbir;

الله أكبر الله أكبر  kemudian anak yang digelar zabih / ذبيح itu menyambutnya dengan ucapan     لا ألـه ألا الله والله أكبر    lalu   disahut    pula    oleh    Nabi    Ibrahim   A.S.   dengan 

الله أكبر ولله الحمـد yang kemudiannya menjadi sunnah (takbir hari raya).                                                                                                                               (Al-Qurtubi, 15: 102) .

    

    

Hukum ibadat Qurban dan kelebihannya dalam Islam

 

Hukumnya sunat.

 

Dalilnya;

·                                 Rasulullah S.A.W. dan para sahabat menyembelih qurban, jadilah sunat sekalian kaum muslimin turut menyembelih qurban. Firman Allah S.Wt. maksudnya: “Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu satu ikutan yang baik bagi mereka yang mengharapkan menemui (rahmat) Allah dan (ganjaran) di hari kemudian”.      (Al-Quran, Al-Mumtahinah, 6).

 

·                                 Hadis diriwayat dari Zaid bin Arqam,  sahabat bertanya Rasulullah S.A.w.: “Apakah sembelihan qurban ini ya Rasulullah?. Jawab baginda: “Sunnah bapa kamu Ibrahim.  Tanya sahabat  lagi: “Apakah kelebihannya bagi kami?. Jawab baginda: “Setiap helai bulu (binatang) itu satu pahala kebajikan”.                                                 (Sunan Ibnu Majah, 2:1045).

 

·                                 Diriwayat dari Saiyidatina Aisyah r.a. Rasulullah S.A.W. bersabda : “Tidak ada seorang Muslim yang mengadapkan sembelihan qurbannya ke kiblat melainkan  darah, tahi dan bulunya merupakan pahala-pahala kebajikan memberatkan timbangannya di hari kiamat”.(al-Majmuk, 8: 407).

 

·                                 Diriwayat oleh Al-Bukhari, Muslim dari Anas bermaksud: “Rasulullah S.A.W menyembelih qurban dengan dua ekor kibas, dan aku pun sembelih dua ekor kibas juga”.   Abu bakar dan Umar Radhiallahu’anhuma menurut riwayat Al-Baihaqi tidak menyembelih qurban kerana  bimbang dilihat nanti hukumnya sebagai wajib.                                (Al-Majmuk, 8:382).

 

 

Huraian hukum: Mazhab As-Syafi’i menghukumkan Sunnat Muakkadah.  Saugia orang yang mampu sentiasa melaksanakannya.  Jika dinazarkan jadilah ia wajib. (Al-Majmuk, 8: 383).

 

Dalil wajib jika dinazarkan ialah sabda Rasulullah S.A.W.maksudnya: “Sesiapa yang bernazar hendak membuat ketaatan kepada Allah hendaklah ia lakukan ketaatan itu”. (Al-Mughni Wa As-Syarhul Kabir, 3:578). 

 

 Fatwa As-Syafi’i : “Ibadat qurban sunat atas setiap orang Islam yang ada kemampuan sama ada penduduk bandar, kampung, musafir atau bukan, termasuk juga jemaah haji di Mina dan lainnya sama ada yang kena dam sembelihan (Hadyi / هـدى) atau tidak”. (Al-Majmuk, 8: 383).

Al-’Abdari berfatwa jemaah haji di Mina tidak ada sembelihan qurban  sebagaimana mereka tidak ada solat ‘id. Yang ada sembelihan di Mina ialah sembelih dam. Pendapat ini tertolak. Nas As-Syafi’i tetap mengatakan sunat atas orang haji. Dinaskan juga oleh Al-Qadhi Abu Hamid dan lain-lain ulama As-Syafi’i. dikuatkan oleh nas hadis Bukhari dan Muslim “Bahawa Rsulullah S.A.W. menyembelih lembu untuk isteri-isterinya di Mina”.                        (Al-Majmuk, 8: 383).

 

Yang mengatakan wajib ialah Abu Hanifah (Mazhab Hanafi) iaitu wajib atas orang mukim yang mampu. Al-Auza’i,  Al-Laith bin Saad dan Rabi’ah juga mengatakan wajib.(Al-Majmuk, 8: 383).

 

Bolehkah seorang melakukan qurban untuk seluruh isi rumahnya?

 

Jawabnya sah. Berdasarkan riwayat bahawa Nabi S.A.W. berdoa ketika sembelih qurban: “Ya Allah terimalah (qurban ini) dari Muhammad dan keluarga Muhammad”. 

                                                               (Sunan Ibnu Majah, 2:1044, Al-Majmuk, 8: 383).

 

Ertinya seisi rumah dapat pahalanya dengan seorang darinya menyembelih qurban. Sunat Muakkadah tadi adalah berbentuk Sunat Kifayah.                           (Al-Majmuk, 8: 384).

 

Imam Malik juga meriwata dalam Al-Muwattaknya hadis sohih dari Abu Ayyub al-Ansori: “Kami  menyembelih seekor kambing. Di zaman Nabi S.A.W. ada orang  menyembelih seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya. Manusia kemudiannya buat bermegah-megah. Jadilah ia kemegahan”.                                      (Sunan Ibnu Majah, 2: 1051, Al-Majmuk, 8: 384).

 

 

Sembelihan qurban untuk si mati

 

Sembelih qurban diniatkan untuk  si mati juga dibolehkan kerana ia adalah sedekah; si mati dapat manfaat pahalanya, dan sampai pahala kepadanya mengikut pendapat Ijmak ulama. Cuma imam Al-Baghawi, Imam Ar-Rafi’i mensyaratkan jika simati ada berwasiat barulah sampai kepada si mati.    (Al-Majmuk, 8: 406). Contohnya jika anak menyembelih qurban dan diniatkan atau didoakan untuk ibu bapanya yang telah mati, sampai pahala itu kepada ibubapanya. Nabi S.A.W. berdoa dalam hadis Riwayat Muslim ketika sembelih seekor kibas :”Dengan nama Allah, terimalah Ya Allah dari Muhammad, dari keluarga Muhammad dan umat Muhammad”.

                                                         (Sunan Ibnu Majah, 2:1043, Al-Majmuk, 8: 407)                      

 

Waktu sembelih qurban:

 

Permulaan waktu;

Setelah terbit matahari hari Nahar (10 Zulhijjah)  berlalu hingga selesai waktu solat dua rakaat sunat  ‘Idul Adha dan dua khutbahnya.

Ada pendapat mengatakan kadar dua rakaat itu ialah dua rakaat solat Rasulullah iaitu;

rakaat pertama selepas fatihah baginda baca surah  qaf ( ق)

rakaat kedua selepas fatihah  baginda baca surah (اقـتربت السـاعـة ) dan dua khutbah yang sederhana.                                                                              (al-Majmuk, 8:387)

 

Dalil permulaan waktu itu selepas solat ‘Id ialah hadis riwayat al-Barra’ Nabi bersabda: “Sesiapa mengerjakan solat kami (‘Id) ini dan diikuti mengerjakan ibadat kami (sembelih qurban) maka ia memperolehi sunnah kami.  Sesiapa mengerjakan ibadat (sembelih qurban) sebelum solat kami maka kambing itu jadi daging biasa, oleh itu sembelihlah pada waktunya” (selepasa solat dan khutbah)                                            (Sohih Muslim, 3:74,76,  Al-Majmuk, 8:387).

 

Rasulullah S.A.W. juga suruh diulang  sembelihan qurban  mereka yang sembelih sebelum slesai solat ‘Id. Di antaranya hadis-hadis: 

·                                 Riwayat Anas bin Malik: “Ada seorang sahabt yang sembelih sebelum solat, Rasulullah S.A.W.suruhnya ulang sembelihan”.

·                                 Riwayat Jundab (bin Sufian) Al-Bajalli Sabda Rasulullah S.A.W.: “Sesiap di antara kamu yang sembelih sebelum solat hendaklah diulang sembelihannya”.

                                           (Sohih Muslim, 3: 73, 74, 76, Sunan Ibnu Majah, 1053).

Lihat juga hadis-hadis riwayat Muslim. 

 

 

Ertinya selagi belum selesai kadar waktu solat dan dua khutbah, belum masuk lagi waktu sembelih qurban. 

 

Akhir waktu;

Dari nas As-Syafi’i diterima oleh ulama ialah tenggelam matahari akhir hari Tasyriq  (13Zulhijjah).

                                                                       (al-Majmuk, 8:388)

Dalilnya hadis riwayat Jubair bin Mut’am, Rasulullah S.A.W. bersabda: “Setiap hari Tasyriq boleh disembelih (sembelih qurban)“.                                                (al-Majmuk, 8:387)

 

Sembelih waktu malam 

Makruh sembelihan biasa waktu malam.(sembelihan biasa ialah sembelih untuk dimakan atau untuk dijual).

Sangat makruh (Makruh Tanzih) sembelihan qurban waktu malam.  (al-Majmuk, 8:387)

Ertinya hilanglah pahala ibadat jika sembelihan dilakukan waktu malam.

Ini berdasarkan larangan Rasulullah S.A.W. dalam hadis mursal riwayat Al-Baihaqi dari Ali bin Al-Husain yang bermaksud: “Rasulullah S.A.W.menegah memotong dan memetik hasil pohon tamar waktu malam”.                                                                    (Al-Majmuk, 8:388)     

Maksudnya Rasulullah S.A.W. melarang memetik buah tamar waktu malam. Tentulah sama juga larangannya memetik hasih dari pohon-pohon lain seperti kelapa, pisang dan lain-lain hasil dusun atau kebun, sawah atau ladang. Jadi larangan Rasulullah S.A.W. mengutip hasil tanaman di waktu malam itu, mereka kiaskan terlarang juga menyembelih binatang di waktu malam. Menyembelih itu merupakan menuai hasil.

Sembelihan itu tetap sah tetapi pahalanya tidak ada.  

 

Waktu yang tidak sah sembelih qurban     

Mazhab kita As-Syafi’i, sembelihan sebelum waktu yang disebut di atas tadi seperti sebelum terbit matahari hari Nahar, tidak sah. begitu juga setelah luput waktunya iatu setelah habis hari Tasyriq juga tidak sah. Daging sembelihan itu jadi daging biasa, bukan qurban. Tidak dapat pahala ibadat qurban.                                                                   (Al-Majmuk, 8:388).

 

Oleh itu, pastikan masuknya waktu qurban itu kira-kira selesai solat dan dua khutbah. Tidak disyaratkan mesti orang yang berqurban itu solat dahulu. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis dari Anas r.a.: “Rasulullah S.A.W. berkhutbah dan menyuruh orang yang sembelih qurban sebelum solat supaya mengulangi sembelihannya”. (Al-Majmuk, 8:389).

Begitu juga Imam Muslim meriwayatkan hadis dari Jundab bin Abdullah bin Syaqiq yang menceritakan: “Aku menyaksikan sembelihan qurban bersama  Rasulullah S.A.W. Seorang lelaki mengadu ada orang yang sembelih sebelum solat, Rasulullah S.A.W. pun menyuruh orang itu mengulangi sembelihannya”.                                                          (Al-Majmuk, 8:389).

 

Cuma mazhab-mazhab  lain berbeza contohnya:

Mazhab Hanafi = Orang tinggal di bandar disyaratkan hendaklah sembelih setelah solat dan khutbah  imam sementara orang tinggal di kampung-kampung dan pedalaman harus selepas terbit fajar kedua (subuh).

Mazhab Maliki =  Disyaratkan setelah solat dan khutbah imam dan kalau imam hendak sembelih disyaratkan lagi setelah sembelihan imam.

Mazhab Hanbali = Disyaratkan setelah solat dan khutbah imam, tidak disyaratkan selepas sembelihan imam.

                                                                                                (Al-Majmuk, 8:389)

Perhatian Penting: 

* Jika ditangguhkan ke tahun berikutnya ia jadi qurban untuk tahun berikut, bukan tahun yang tertangguh itu.                                                                         (Al-Majmuk, 8:388). 

 

* Jika  dinazarkan untuk qurban di tahun itu, wajib sembelih qurban itu sekalipun telah luput waktunya. Begitu juga jika seorang berkata: “Kambing ini (atau lembu ini) hendak aku jadikan qurban”, Wajib ia sembelih dalam waktunya. Jika dilewatkan hingga luput waktunya, wajib juga sembelih tetapi berdosa.                                                          (Al-Majmuk, 8:388).

 

 Larangan memotong kuku dan rambut / bulu di badan

Imam As-Syafi’i dan ulama berhujah larangan ini berdasarkan hadis-hadis riwayat Muslim dari Ummu Salamah bermaksud: “Apabila masuk sepuluh (bulan Zulhijjah) dan kamu hendakmenyembelih qurban, janganlah memotong rambut dan kuku lagi”.  

Dalam riwayat yang lain, :”Bila kamu lihat hilal (anak bulan) Zulhijjah dan kamu hendak menyembelih qurban tahanlah dari memotong rambut dan kuku kamu”.

            (Sohih Muslim, 3:83, 84, Sunan Ibnu Majah, 2:1052, Al-Majmuk, 8:386, 391) 

Bila masuk hari sepuluh Zulhijjah hukumnya makruh tanzih. Tegahan yang sangat kuat.

                                                                                            ( Al-Majmuk, 8:391-392) 

Hukumnya makruh berbuat demikian, ada yang mengatakan sebagai menghomati para haji yang sedang berihram di Mekah. Terutama dari satu Zulhijjah hingga selesai qurban. Bila sudah sembelih, tidak lagi ditegah.

Pendapat yang lebih baik hikmah tegahan itu ialah supaya semua juzuk anggota kita sempurna dan dapat merdeka dari api neraka. Kalau untuk menghormati  para haji tidak tepat kerana mereka bukan sahaja ditegah potong bulu dan kuku tetapi banyak lagi seperti memakai bauan, bernikah kahwin, bersetubuh, memakai sarung, memburu binatang……sedangkan kita yang berqurban di sini tidak ditegah semuanya.

                                                                                             (Al-Majmuk, 8:392) 

Perbezaan mazhab;

Mazhab Maliki dan Hanafi tidak makruh.

Mazhab hanbali kata hukumnya haram.

Imam As-Syafi’i dan ulama kita kata makruh berdasarkan hadis larangan di atas tadi  serta gabungan tiada tegahan pada sembelihan Al-Hady. Hadis itu riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. : “Saya memintal tali untuk ikatan di leher binatang sembelihan Al-Hady ( الهـدى ) Rasulullah S.A.W.   Baginda membawa binatang itu dan mengirimnya untuk disembelih. baginda tidak menegah apa-apa sehinggalah binatang itu disembelih”. Jadi, kata Imam As-Syafi’i  sembelihan Al-Hady itu lebih besar dari sembelihan qurban. (Al-Majmuk, 8:392). (Oleh itu wajarlah hukumnya makruh dan elok ditinggalkan, dapat pahala – P).

 Nota :(Al-Hdy ialah binatang yang  dismbelih kerana tertahan dari mengerjakan haji atau umrah setelah berniat ihram. Ini hukumnya wajib yang merupakan dam), (atau sembelihan sebagai hadiah kerana tiba ke Mekah  dengan kasad mengerjakan haji atau umrah dan membahagi-bahagikan daging sembelihan itu kepad fakir miskin di Tanah haram Mekah, hukumnya sunat).

(Jadi, hukum makruh potong kuku dan bulu sebelum sembelih qurban itu lebih munasabah dari hukum haram dan harus).

 

Pilihan binatang qurban 

Unta lebih afdal dari lembu atau kerbau kerana unta lebih besar. Lembu lebih afdal dari kambing kerana seekor lembu sama dengan tujuh ekor kambing. Seekor kambing lebih afdal dari perkongsian tujuh bahagian lembu. (Al-Majmuk, 8:395).

Kambing seekor untuk qurban seorang, tidak sah dikongsi. Namun boleh dibuat qurban untuk seisi rumah kerana ia menjadi sunat  kifayah untuk seisi rumah. Kalau seorang ahli rumah qurban untuk dirinya dan juga ahli rumahnya semuanya dapat pahala. (Al-Majmuk, 8:397).

Mazhab Malik berkata tidak sah berkongsi lembu sama seperti kambing juga tidak sah dikongsi.

Mazhab Hanafi berkata kalau untuk satu keluarga seisi rumah tidak sah berkongsi kalau tinggal berasingan barulah sah berkongsi.

Mazhab As-Syafi’i, harus berkongsi sama ada mereka keluarga seisi rumah atau tinggal berasingan berdasarkan hadis riwayat Muslim dari Jabir katanya: “Kami sembelih qurban bersama Nabi S.A.W. di Hudaibiyah; seekor unta berkongsi tujuh orang dan seekor lembu berkongsi tujuh orang”. Dalam hadis lain Jabi berkata: “Di musim haji Rasulullah menyuruh kami berkongsi unta, lembu tujuh orang).

                                      (Suna Ibnu Majah, 2:1047, Al-Majmuk, 8:398 – 399, 422).

 

Pilihan warna 

Yang afdal putih, kemudian kuning, kemudian kelabu, kemudian tompok-tompok putih dan hitam dan  kemudian hitam. (Al-Majmuk, 8: 396). Jika tidak ada, sahlah apa-apa warna pun.

 

Binatang yang tidak sah dijadikan qurban 

1- Bukan binatang an’am.

2- Binatang an’am tetapi cacat yang mengurangkan daging.

3- Binatang yang sakit berat.

4- Binatang yang cacatnya mengaibkan;

4.1- Banyak kurap.

4.2- Tempang yang nyata.

4.3- Buta.

4.4- Mata bolo (tiada mata hitam).

4.5- Terlalu kurus.

4.6- Gila.

4.7- Terpotong telinga. Apa lagi yang terpotong kaki atau sebahagian dagingnya.

Semuanya berdasarkan dalil Rasulullah S.A.W. bersabda diriwayat  dari Ali, Al-Barra’ bin ‘Azib (Radhiallahu ‘anhuma) : “Jangan sembelih (untuk qurban) binatang yang terpotong,  terbelah dan berlubang telinga, yang terpotong hidung, bibir, yang buta mata walaupun sebelah, yang sakit berat, yang tempang, yang kudung atau terpotong kaki”. (Sunan Ibnu Majah, 2:1050).

Makruh binatang yang cacat tetapi tidak mengaibkan.

Jika bernazar berqurban dengan binatang  aib, wajib sembelih binatang itu pada hari qurban. tetapi tidak jadi qurban. Cuma wajib menunaikan nazarnya.  Jika binatang itu sembuh dari aibnya  disembelih juga kerana ia bernazar dengan binatang itu tetapi tidak juga jadi qurban kerana nazarnya binatang cacat itu. (Al-Majmuk, 8:399 – 403).

 

Syarat sah qurban. 

1- Niat. Sah niat dahulu dari menyembelih seperti puasa.

Mazhab kita As-Syafi’i harus berniat untuk seisi rumah. Ia jadi hukum sunat kifayah bagi seisi rumah Dalilnya doa Rasulullah S.A.W. ketika sembelih dua ekor kibas: ” Tuhanku, terimalah dari Muhammad dan keluarga Muhammad”. (Al-Majmuk, 8:384) atau rumah-rumah yang berasingan, dekat atau jauh, qurban sunat atau wajib. Boleh juga sebahagian orang  berniat qurban dan sebahagian yang lain berniat sembelihan Al-hady. (Al-majmuk 8:397). Jika demikian harus juga sebahagian berniat qurban dan sebahagian lagi berniat aqiqah.

 

Kalau sembelih qurban untuk diri sendiri diniatkan pahala kepada orang lain juga sah. Dalilnya hadis riwayat Muslim dari Aisyah: “Nabi S.A.W. sembelih seekor kibas. baginda menyebut Dengan nama Allah, Tuhanku terimalah dari Muhammad, keluarga Muhammad dan dari umat Muhammad kemudian baginda sembelih”. (Al-Majmuk, 8:407). 

 

Sekalipun pahala kepada orang yang telah mati. Sampai pahalanya dengan ijmak ulama. Cuma Imam al-Baghawi, Ar-Rafi’i mengata kalau si mati ada berwasiat sah kalau tidak diwasiatkan tidak sah.(Al-Majmuk, 8: 406).

2- Orang yang menyembelih itu merdeka. tidak sah  hamba.

3- Binatang itu miliknya. Tidak sah binatang yang dicuri.

4- Binatang itu sejahtera dari kecacatan yang mengurangkan daging atau mengaibkan.

 

Adab-adab sembelihan qurban. 

1- Sunat menghadapkan sembelihan itu ke kiblat. Sunat juga membaca ketika itu:

إِنَّى وَجَّـهۛتُ وَجۛـهِىَ لِلَّذِى فَطَـرَ السَّمَـٰوَٰتِ والأرض حَنِيفا  hingga akhir……seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. serta  berdoa seperti berikut yang mana Rasulullah S.A.W. berdoa :

“Ya Tuhanku! Inilah (qurban) dari-Mu, kerana-Mu, terimalah dariku / keluargaku….”  

(Sunan Ibnu  Majah, 2:1043). Bagi kit, bolehlah ditambah dengan ibubapa, guru kita atau lainnya….

2- Sunat membaca Bismillah dan bertakbir. (Hadis Anas menceritakan: “Nabi S.A.W. menyembelih dua ekor kibas, meletakkan kakinya ke atas pipi binatang itu, membaca Bismillah dan bertakbir”. Al-Majmuk, 8:405).

3- Sunat berdoa umpamanya: “Tuhanku! qurban  ini dari-Mu dan kerana-Mu  terimalah dariku…”

4- Sunat menajamkan pisau supaya segera matinya dan kurang sakit.

5- Sunat melalukan pisau dengan pantas dan kuat.

6- Sunat pada unta disembelih dalam keadaan berdiri kaki tiga, diikat lutut kirinya, jika tidak boleh hendaklah didudukkan mengadap kiblat.

7- Lembu dan kambing, dibaringkan atas rusuk kiri, mengadap kiblat.

8- Jangan menunjukkan pisau kepada binatang itu. 

 

Daging Qurban. 

1) Jika  qurban sunat, tuannya sunat ambil sedikit untuk dimakan sebagai berkat. Harus kalau mahu sedekah semuanya kepada fakir miskin.

2) 1/3 paling banyak yang sunat diambil oleh tuannya untuk dimakan. 1/3 untuk sedekah kepada fakir miskin dan 1/3 untuk hadiah kepada orang kaya atau lainnya seperti tukang sembelih /tukang lapah.

3) Jika qurban wajib, wajid disedekah dan hadiah semuanya mana yang boleh dimakan. Sembelihan yang wajib seperti sembelihan dam juga tidak harus dimakan oleh tuannya.

4) Daging qurban yang diberi kepada orang kaya, ia tidak sah memilikinya; dia haram menjualnya. Ia harus masak dan beri orang makan atau hadiahkan kepada orang lain.

5) Fakir miskin yang menerimanya adalah jadi hak milik. Mereka sah jual dan sebagainya.

6) Tidak harus (tidak jadi pahala qurban) tuan qurban memasak daging qurban dan beri makan kepada fakir miskin kerana daging itu hak kepunyaan fakir miskin kecuali jika mereka yang meminta dimasak.

7) Daging qurban yang bahagian untuk dimakan sendiri boleh disimpan lama. Daging yang dbahagikan hanyan boleh disimpan selama tiga hari sahaja jika lebih haram hukumnya.

8) Tuan punya sembelihan  haram menjual daging qurban atau Al-hady.

9) Jika makan sendiri daging qurban Nazar Mujazat  / مجـازة   atau Nazar Mutlak / مطلقtidak disedekahkan, wajib diganti. Caranya;

  1. Ganti dengan harga dan sedekahkan.
  2. Ganti daging dan sedekahkan.
  3. Beli seekor (boleh berkongsi) ambil bahagian yang dimakan dan sedekahkan. 

                                                                                       (Al-Majmuk, 8: 413 – 418)

Nota:Nazar Mujazat  / مجـازة (iaitu nazar yang dikaitkan dengan tercapainya satu-satu hajat seperti katanya: “kalau sembuh sakitku ini aku hendak sembelih qurban”).

Nazar Mutlak / مطلق (iaitu nazar yang tidak dikaitkan dengan satu-satu hajat seperti katanya: “Aku hendak qurban lembu ini”

Cara bernazar

Disyaratkan;

1- Lafaz (sebut di mulut) seperti katanya: “Kambing ini akan aku jadikan qurban”

2- Lintasan niat dalam hati sebelum lafaz atau sesudah lafaz. Jika niat sahaja tidak jadi qurban pada kaul yang sah.

3- Kalau terlanjur lafaz tanpa niat juga tidak jadi qurban.

4- Jika menentukan kambing atau lembu tertentu, wajib sembelih kambing atau lembu yang ditentukan itu.  Tidak sah diganti. (Jika binatang itu mati tak wajib tunaikan kerana ia nazar dengan menentukan binatangnya – P.)  

5) Sesiapa yang bernazar sembelih qurban pada tahun itu tetapi tidak ditunaikan wajib qadak pada tahun yang lain.

                                                                             (Al-Majmuk, 8: 423 – 425)

 

Perhatian

Daging qurban bahagian hak kita sendiri harus dimasak dan beri makan fakir miskin yang Islam.

Kepada kafir zimmi, harus beri yang sudah dimasak juga dari qurban yang sunat. Jika qurban yang wajib haram hukumnya.

Afadhal laksanakan qurban ditempat di mana tuannya boleh saksikan, jika orang lain yang sembelih.(Al-Majmuk, 8: 425). berdasarkan hadis riwayat Abu Said Al-Khudri Rasulullah S.A.W. bersabda kepada Fatimah Anaknya: “Pergi ke tempat sembelihan kamu itu dan saksikan. Sesungguhnya dari titsan darah yang pertama itu diampunkan dosa-dosa kamu yang lalu”. (Al-Majmuk, 8:405).

 

 

 PERBEZAAN QURBAN DAN AQIQAH.

1) Dfinasi  dari sudut syarak

Qurban: Ialah sembelihan binatang an’am pada hari Nahar dan hari Tasyriq untuk mendekatkan diri kepada Allah. 

Aqiqah: Ialah sembelihan binatang an’am sempena kelahiran anak sebagai tanda bersyukur kepada Allah. 

2) Hukum 

Kedua-duanya sunat muakkad dan wajib jika dinazarkan.

Qurban: Sunat kifayah bagi satu keluarga. Memadai seorang sahaja yang berqurban bagi seisi rumah.

Aqiqah: Sunat atas wali (bapa) mengaqiqahkan anakyang baru lahir hingga umur baligh. Setelah baligh sunat atas diri sendiri. Sah juga wali atau penjaga mengaqiqahkan anak yang sudah baligh.

3) Masa / tempoh 

Qurban: Setiap tahun dari terbit matahari 10 zulhijjah (hari Nahar) hingga tenggelam matahari 13 Zulhijjah (hari Tasyriq).

Aqiqah: Bila-bila masa selagi belum dibuat aqiqah.

 

4) Kekerapan 

Qurban: Boleh  setiap tahun bagi setiap orang.

Aqiqah: Hanya sekali selagi belum beraqiqah kecuali aqiqah yang sebelumnya tidah sah kerana tidak menepati syarat seperti binatang an’am itu cacat yang aib. 

 

5) Pembahagian 

Qurban: Sunat dibahagikan daging mentah dengan nisbah 1/3 untuk tuan 1/3 untuk sedekah kepada fakir miskin dan 1/3 hadiah atau 2/3 sedekah kepada fakir miskin.

Aqiqah: Sunat dimasak dahulu dan sunat dilebihkan manis semoga manis akhlak anak itu. (Tulang binatang aqiqah sunat tidak dipatah-patahkan sempena mengharapkan anak itu tidak cacat).

 

6) Jika dinazarkan 

Qurban: Tidak harus tuannya mengambil walaupun sedikit. Wajib disedekah dan hadiah semuanya.

Aqiqah: Boleh diambil oleh tuannya (kerana hendak dimasak dan diberi makan kepada orang). 

 

Hukum aqiqah : Sunat (Muakkadah – sangat dituntut).

Dalilnya :

1) Riwayat An-Nasai dari Buraidah dan Ibnu Abbas r.a.; “Rasulullah S.A.W.mengaqiqah Hasan dan Hussain, masing-masing seekor kibas” (Al-Majmuk, 8:426,428).

2) Riwayat, Abu Daud, At-Tirmizi,  An-Nasai, Ibnu Majah dari Ummi Karz katanya: “Aku bertanya Rasulullah S.A.W.mengenai aqiqah”. Jawab baginda: “Untuk anak lelaki dua ekor kambing dan untuk anak perempuan seekor”  (Al-Majmuk, 8:426).

Kata Buraidah bin Al-Hasib  بـريدة بن الحصيب,  Hassan Al-Basri, Abu Az-Zannad, Daud Az-Zohiri, hukum aqiqah adalah wajib.

Kata Imam Abu Hanifah Aqiqah itu wajib tidak sunat pun tidak tatapi bid’ah

Al-Imam As-syafi’i membuat ulasan terhadap kedua-dua pendapat ini katanya: “Ada Pendapat yang melampau mengenai aqiqah, satu mengatakan wajib dan satu lagi mengatakan bid’ah”. (Al-Majmuk, 8:447).

Waktu / Umur anak : Sunat pada hari ke tujuh.

Dalilnya : Riwayat Al-Baihaqi dari Aisyah r.a. : ” Rasulullah S.A.W. mengaqiqahkan Hassan dan Hussain pada hari ke tujuh, memberi nama kedua-duanya dan membuang kotoran dari kepala mereka (mencukur rambut mereka)”.  (Al-Majmuk, 8:427).

* Jika tidak dapat pada hari ketujuh, tunda pada hari ketujuh berikutnya iaitu hari keempat belas.

* Jika tidak dapat hari keempat belas, tunda pula tujuh hari kemudian iaitu hari kedua puluh satu.

(Ini adalah waktu pilihan. Begitulah seterusnya ditunda seminggu seminggu) Ada yang mengatakan waktu pilihan hanya setakat dua puluh satu hari sahaja).                        (Al-Majmuk, 8:431).

                                                                                                                

* (Jika lebih dari itu dapat pahala aqiqah tetapi terlepas pahala memilih hari yang afdal).

 

Perkara-perkara sunat berkaitan aqiqah

·                                 Beri nama dahulu kerana hendak disebut dalam niat seperti niatnya: “Tuhanku, kerana-Mu dan kepada-Mu, terimalah aqiqah si pulan (anakku)”.

·                                 Bila melapah, ceraikan sendi-sendi binatang aqiqah jangan di patah-patahkan atau dipecah-pecahkan tulang (Agar sejahtera anak tiada kecacatan anggotanya),

·                                 Dimasak dagingnya dengan lebih rasa manis (agar manis akhlaknya) untuk disedekah atau dibuat jamuan. Sempena hadis menyebutkan bahawa Nabi S.A.W. gemarkan manisan dan madu.                                

Ada juga yang mengatakan sunat masak dengan rasa masam kerana Rasulullah S.A.W. suka lauk yang rasa masam: “Sebaik-baik lauk ialah yang masam” , hadis riwayat Muslim. tetapi yang sohihnya ialah masakan yang manis.

                                                                             (Al-Majmuk, 8:430).

 - Seperti ibadat qurban juga jika dbuat aqiqah sebelum lahir anak tidak jadi aqiqah (tidak sah aqiqah).

                                                                             (Al-Majmuk,8:431).

-  Jika anak mati sebelum aqiqah, sunat juga dibuat aqiqah untuknya. (Al-Majmuk, 8:432).

(Begitu juga anak yang keguguran tetapi telah cukup sifat, diberi nama dan dibuat aqiqah).

                                                                              (Al-Majmuk,8:435-6).

- Seperti qurbqn, aqiqah juga, jika dinazarkan  jadi wajib dan jika ditentukan binatangnya wajib disembelih binatang yang ditentukan itu. 

 

PERKARA PENTING YANG MESTI DIAMBIL PERHATIAN BERAT OLEH PENGANJUR IBADAT QURBAN DAN AQIQAH.

Membuat taklimat mengenai tugasan menyempurnakan ibadat qurban: 

1- Menganjurkannya adalah untuk memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah, bukan semata-mata mencari keuntungan dunia.

2-  Memilih  petugas-petugas; tukang sembelih, tukang lapah dan tukang bahagi hendaklah mereka yang amanah. Jauhi dari sifat tamak, tidak jujur, tidak ikhlas, mengambil kesempatan atau merebut peluang mengambil hak orang lain.

Mereka terdiri daripada:

        1) Penyelaras kerja.

        2) Tukang sembelih dan pembantu-pembantunya.

        3) Tukang lapah.

        4) Tukang agih.
 

3-  Bagi tukang sembelih hendaklah;

  1. Bersama-sama pembantunya, membaringkan lembu atau kambing atas rusuk kiri mengadap kiblat. kalau unta didirikan dengan kaki tiga, satu kaki dilipat dan diikat atau didudukkan mengadap kiblat.
  2. Memanggil tuan punya agar menyaksikan sembelihan binatang masing-masing.
  3. Suruh mereka berdoa seperti waktu disembelih : “Tuhanku, inilah qurban dari-Mu, kerana-Mu, terimalah dariku, / keluargaku,ibu bapaku……” . Kalau aqiqah:  “….Inilah aqiqah kerana-Mu, kepada-Mu, terimalah dari pulan (anakku).
  4. Membaca Basmalah dan takbir, mula sembelih.

 4- Penyelaras hendaklah meminta tuan punya ke tempat melapah untuk menyaksikan kerja-kerja melapah. Jika hendak membahagi-bahagi sendiri bolehlah mengambil daging dan dbawa pulang untuk dibahagi-bahagikan atau jika qurban sunat ambilah 1/3 untuk diri sendiri.

5- Bagi tukang lapah hendaklah;

  1. Sediakan mana bahagian untuk fakir miskin; lihat senarai fakir miskin, jangan ada yang ketinggalan. Mana bahagian untuk hadiah kepada orang kaya dan pekerja serta orang ramai.
  2. Jika sembelihan aqiqah jangan dipatah atau dipecahkan tulang-tulang, serahkan semuanya kepada tuannya untuk dimasak atau sebarang kehendaknya.

6- Bagi tukang agih hendaklah;

  1. Memastikan bahagian untuk fakir miskin sampai kepada mereka.
  2. Bahagian tuannya tidak lebih 1/3 (kalau qurban sunat).
  3. Bahagian hadiah kepada yang lain-lain.

Semoga semuanya menjadi ibadah mengikut sumbangan masing-masing.Ya Allah terimalah dari kami untuk diri, keluarga, ibu bapa dan umat Muhammad S.A.W.  sekaliannya amin.

 

 

 

 

 

 

 

 KAIFIAT SUJUD YANG SEMPURNA

Sujud

Kaifiat sujud yang sempurna ialah:

 

(1) Sujud dengan tujuh anggota besar; 

  Kitab Sunan Abi Daud juz 1 halaman 235

Hadis Riwayat Abu Daud dari Abbas bin Abdul Muttalib r.a. Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Apabila sujud seorang hamba itu, sujud bersamanya tujuh anggota; mukanya, dua tapak tangannya, dua lututnya dan dua kakinya”. 

 

Diperincikan lagi oleh hadis berikut: 

Tiga hadis di atas menjelaskan anggota sujud iaitu:

 

1- Hadis riwayat Ibnu Abbas radhiallahu anhuma: Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

“Aku diperintahkan sujud atas tujuh anggota besar; Dahi -dan baginda mengisyaratkan dengan tangannya ke hidungnya-, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dua kaki”.

 

2- Hadis riwayat Abu Hamid As-Sa’idi menceritakan:

“Bahawa Nabi S.A.W. apabila ia sujud, ia menetapkan dahinya dan hidungnya dibumi (tempat sujud)”.

 

3- Hadis riwayat Ibnu Abbas r.a. juga bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Aku diperintahkan supaya sujud di atas tujuh anggota; Dahi, hidung, dua tangan, dua lutut dan dua kaki”.  

 

Hadis-hadis ini menjadi dalil bagi Mazhab Hanafi wajid dikenakan hidung bila sujud. Pada mazhab kita Syafi’i sunat sahaja kerana hidung itu akan terkena dengan sendirinya bila mengenakan dahi di tempat sujud. 

 (Lihat dalam Al-Majmuk, An-Nawawi, juz 3 halaman 425)

 

(2) Sujud merenggangkan dua tangan dari rusuk (bagi lelaki)

 

 Hadis riwayat Abdullah bin Bahinah menceritakan:

“Bahawa Nabi S.A.W. apabila ia solat, (sujudnya) merenggangkan dua tangannya hingga boleh kelihatan putih ketiaknya dari belakang”.

Dengan itu, mazhab As-Syafi’i untuk kesempurnaan sujud, sunat mereng gangkan tangan dan siku dari rusuk dan merenggangkan perut dari paha. Sememtara perempuan dirapatkan .

Sujud dengan merenggangkan siku dan perut. Sujud dengan merapat siku dan perut (Kurang fadhilat sujudnya) 

 

(3) Mengadapkan jari-jari kaki ke kiblat (wajib). Tidak sah bagi yang upaya jika tidak mengadapkan jari-jari kaki ke kiblat;

 

Hadis riwayat Abu Hamid seterusnya menceritakan:

“Bahawa Nabi S.A.W. sujud dan mengadapkan jari-jari kakinya ke kiblat” 

 

(4) Merenggangkan antara dua kaki;

1- Hadis dari Abu Hamid menceritakan:

“Nabi S.A.W. apabila sujud merenggangkan antara dua  kakinya”

 

(5) dan (6) Merapatkan jari-jari tangan (mengadap kiblat) dan meletakkan dua tangan itu separas bahu; 

2- Iaitu hadis riwayat Wail bin Hajar r.a. menceritakan: 

“Bahawa Rasulullah S.A.W. Apabila  sujud, ia rapatkan (jari-jari) tangan  dan meletakkan dua tangannya separas dengan bahunya”. 

Sementara hadis riwayat Al-Barra’ bin ‘Azib r.a. menceritakan bahawa Nabi S.A.W. bersabda:

“Apabila kamu sujud, rapatkan (jari-jari) tangan kamu dan angkat siku kamu”  

 

 

Sujud lelaki: merenggang tangan dan siku, perut dan melipatkan jari-jari kaki dan merapatkan jari-jari tangan mengadap ke kiblat. 

 

Sujud Lelaki merenggangkan kaki dan paha                

 

Sujud perempuan merapatkan kaki dan paha

 

Perempuan itu dituntut supaya lebih menutup anggotanya. 

 

Dimaksudkan kaki itu sebagai anggota sujud ialah  perut-perut jari kaki itu kerana perut-perut jari lebih menepati maksud dilipatkan dan mengadap kiblat.

 

 Huraian petikan di atas dari kitab Al-Majmuk, Imam An-Nawawi, juz 3 

1- Wajib meletakkan tujuh anggota sujud itu ialah sebahagian yang dinamakan anggota itu seperti anggota dahi, jika yang dikenakan itu mana-mana bahagian yang dinamakan dahi maka itu mamadai tetapi makruh hukumnya. Begitu juga anggota yang lain. Pada dahi makruh tanzih jika sebahagian kecil sahaja yang dikenakan. Wajib dikenakan sebahagian besar dahi.

2- Dikehendaki dengan kaki sebagai anggota sujud itu ialah perut-perut jari kaki kerana ia lebih menepati maksud mengadap kiblat. Jika tidak kena perut-perut jari, tidak sah bagi yang mampu.

3- Dikehendaki dua tangan pula ialah tapak tangan atau perut-perut jari tangan. Jika yang mengenai itu sebahagian apa yang dinamakan tapak tangan atau perut-perut jari maka itu memadai. Jika bahagian tepi tidak sah.

4- Lutut dan kaki tidak wajib terbuka; Sunat membuka kaki (bagi lelaki. Perempuan wajib menutupnya kerana ia aurat).

5- Jangan membuka lutut kerana ia akan terbuka aurat. 

6- Tidak wajib terbuka tapak tangan seperti wajib terbuka dahi (bagi lelaki dan perempuan) 

 

(7) Wajib terbuka dan tetap dahi di tempat sujud. 

 Maksud hadis-hadis di atas adalah seperti berikut: 

1- Hadis riwayat Abdullah bin Umar r.a. Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Apabila kamu sujud, tetapkan dahi kamu di bumi (tempat sujud) dan jangan seperti patuk mematuk”. 

Ini bererti wajib menetapkan dahi sekalipun sekadar tomakninah sahaja. Yang sunat ialah dipanjangkan sujud dan bertasbih di dalamnya.

 

2-Hadis riwayat Khabab bin Al-Art menceritakan:

“Kami mengadu kepada Rasulullah S.A.W. panas yang membakar di dahi-dahi dan tapak-tapak tangan kami namun baginda tidak memperdulikan”  

Dalam huraiannya menyebutkan bahawa dahi itu wajib terbuka ketika sujud jika panas sekalipun. Tidak sah berlapik. Jika tidak wajib terbuka tentulah Nabi S.A.W. suruh menutupnya. Tidak mengapa bahkan digalakkan membentang sajadah atau tikar atau kain dan sujud di atasnya.

 

(8) Tidak sah sujud seseorang itu jika beralas dengan sesuatu yang berhubung dengannya dan bergerak alas itu dengan geraknya.

 

 Dalam Mazhab As-Syafi’i wajib terbuka dahi dan mengenai ke tempat sujud. Tidak sah sujud atas tangan sendiri, lengan bajunya, ekor serbannya atau perempuan atas telekungnya kerana semuanya itu akan ikut bergerak dengan bergeraknya dan berhubung dengannya. Jika benda-benda itu panjang dan tidak bergerak dengan geraknya, tidaklah membatalkan solatnya.

 

Demikian juga sesetengah orang yang memakai penutup kepala seperti kufiah, songkok atau serban atau rambutnya sendiri yang menutup dahinya sehingga terhalang dahinya dari  menyentuh tempat sujud, tidak sah solatnya tanpa khilaf lagi.

 

 

(8) Jari kaki mengadap kiblat, membezakan kedudukan jari tangan ketika rukuk dan sujud, meletakkan dahi antara dua tangan ketika sujud 

 

 1- Hadis riwayat ‘Utbah bin Abi Hakim:

“Apabila baginda sujud, baginda merenggangkan dua pahanya”

2- Hadis riwayat Abi Hamid:

“Bahawa Nabi S.A.W. apabila sujud, baginda mengadapkan jari-jari kakinya ke kiblat” 

 3- Hadis riwayat Imam Al-Baihaqi dari Wail r.a.  menceritakan:

“Bahawa Nabi S.A.W. bila rukuk baginda merenggangkan jari-jari tangannya dan bila sujud baginda merapatkan jari-jari tangannya”. 

Hadis ini menjadi dalil bahawa hendaklah kita membezakan keadaan jari-jari tangan kita, ketika rukuk dikembangkan dan ketika sujud dirapatkan supaya mengadap kiblat.

 

4- Hadis riwayat Imam Muslim dari Wail r.a. pula menceritakan:

“Bahawa ia (Wail r.a.) melihat Nabi S.A.W. solat, apabila baginda sujud, ia sujud di antara dua kaff tangannya”. (dari pergelangan tangan hingga hujung jari dinamakan Kaff). 

     Sujud kedudukan dahi tidak berada di antara dua kaff                     Sujud yang betul dahi antara dua kaff

      

 

KAEDAH BETUL DALAM SAF

Kaedah betul dalam Saf

Hadis Baginda Rasulullah S.A.W

 

Daripada Abdullah Ibn Umar R.A,Baginda Rasulullah S.A.W Bersabda,

“Tegakkan saf-saf kamu . Sama paraskan bahu-bahu (supaya saf lurus , tidak bengkang  bengkok ) dan tutupkan yang renggang , lembutkan tangan-tangan (tarik dan beri ruang kepada mereka memenuhi saf)jangan biarkan celah-celah (yang renggang ) untuk dimasuki syaitan .

Sesiapa yang menghubungkan (menyambungkan saf),Allah S.W.T menghubunginya(dengan rahmat) dan sesiapa yang memutuskan saf ,Allah S.W.T memutuskannya (dari rahmatnya).

Hadis ini Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan Sanad yang Sahih.

(Kitab Al-Majmu’ An-Nawawi)

 

 

                                                             

 

 

 

                                                             

 

 

 

 

 

 

 

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: